
Masuk ASEAN… Timor-Leste ucap terima kasih dengan air mata
Malaysia menyifatkan kemasukan Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN sebagai detik bersejarah dan momen paling menyentuh hati dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di ibu negara, pada Ahad.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau terharu melihat reaksi wartawan Timor-Leste yang berterima kasih kepada Malaysia selepas negara itu diterima sebagai anggota baharu ASEAN.
“Selesai acara, saya pergi ke International Media Center dan saya bertemu wartawan-wartawan Timor-Leste.
“Mereka berlinang air mata, sangat berterima kasih kepada Malaysia, kepada Perdana Menteri, kepada kita semua kerana akhirnya setelah 14 tahun mereka mencuba, mereka diterima sebagai negara ke-11 dalam ASEAN,” katanya pada sidang media selepas majlis penutupan RIUH x ASEAN 2025 di Stadium Merdeka, pada Ahad.

Fahmi berkata, kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN adalah simbol kekuatan diplomasi Malaysia yang berperanan penting mengemudi perubahan besar dalam kerjasama serantau dan global.
“Hari ini sangat bersejarah kerana hadirnya pelbagai pemimpin dunia di Malaysia.
“Ini membuktikan Malaysia boleh menjadi nakhoda yang baik mengemudi perubahan besar dalam diplomasi dunia,” katanya.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, suasana di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pagi ini bertukar sebak apabila kira-kira 30 delegasi dari Timor-Leste termasuk wakil media, mengalirkan air mata kegembiraan selepas negara itu secara rasmi diterima sebagai anggota ke-11 ASEAN.
Sekumpulan wakil pemberita dari negara itu turut bersorak dan berpelukan sebaik momen bersejarah itu disahkan semasa sesi rasmi sidang kemuncak berkenaan.
Detik bersejarah itu dimuktamadkan apabila Timor-Leste menyerahkan Instrumen Penyertaan kepada Piagam ASEAN serta Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), sekali gus mengesahkan penyertaannya sebagai ahli penuh ASEAN.
Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmao turut menyampaikan ucapan ringkas sejurus selepas pengumuman rasmi diterima, menyifatkannya sebagai satu kemenangan besar buat rakyat negaranya selepas perjuangan panjang selama lebih dua dekad.-27/10/2025



