TAHUKAH ANDA

Tiada kaitan dengan kesilapan RTM… Duta Indonesia jelaskan sebab Prabowo balik awal

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono, menolak khabar angin bahawa Presiden Prabowo Subianto memendekkan lawatannya ke Malaysia pada Sidang Kemuncak Asean ke-47 akibat kesilapan pengulas RTM yang menyebut dirinya sebagai mantan presiden, Joko Widodo.

Beliau berkata, jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Yvonne Mewengkang, ada menyatakan Prabowo pulang ke Jakarta semalam kerana ‘agenda padat domestik’.

“Ia tiada kaitan langsung dengan kesilapan sebutan namanya oleh pengulas (RTM),” kata Hermono.

Pada Ahad lalu, Badan Perhubungan Awam Jabatan Penyiaran Malaysia memohon maaf susulan kesilapan pengulas RTM merujuk Prabowo sebagai pendahulunya, Widodo, ketika siaran langsung liputan Sidang Kemuncak Asean ke-47, di Kuala Lumpur.

RTM berkata, pihaknya berjanji akan terus meningkatkan kawalan editorial dan semakan fakta bagi memastikan setiap maklumat disampaikan adalah tepat serta berintegriti.

The Jakarta Post melaporkan, walaupun Prabowo pada awalnya merancang hadir sepanjang tempoh sidang kemuncak tiga hari (26-28 Oktober), beliau memutuskan memendekkan lawatannya petang semalam selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asean-Korea Selatan ke-26, Sidang Kemuncak Asean Campur Tiga ke-28, dan majlis resepsi bagi memperingati kemasukan Timor-Leste ke rantau itu.

Sepanjang ketiadaan Prabowo, beliau diwakili beberapa menteri Kabinetnya, termasuk Menteri Luar Negeri Sugiono dan Menteri Penyelaras Ekonomi Airlangga Hartarto.

Prabowo hadir Sidang Kemuncak Asean-AS pada Ahad, di mana Presiden AS Donald Trump sekali lagi mengesahkan komitmen Washington terhadap Indo-Pasifik selepas menyatakan AS ‘100%’ menyokong Asia Tenggara.

Ketika berucap pada Sidang Kemuncak Asean Campur Tiga ke-28, yang menghimpunkan negara Asean dengan China, Jepun, dan Korea Selatan, Prabowo menyeru kerjasama lebih lanjut dan meminta persaingan serantau kekal ‘konstruktif’ ketika suasana global yang tidak menentu, lapor The Jakarta Post.

Semasa pemukiman pemimpin Asean, Prabowo menyeru blok itu mengambil langkah lebih konkrit bagi menangani krisis serantau, termasuk krisis politik yang berterusan di Myanmar. –29/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button