
PM jawab pelbagai ‘al-kisah’ kehangatan kehadiran Presiden Trump di Sidang Kemuncak Asean….
Setelah melalui kesibukan terlampau menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Asean ke 47 yang berakhir Selasa…Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan dengan media untuk menjawab pelbagai al-kisah khususnya kehangatan kehadiran Presiden Donald Trump hingga mengenai dakwaan kononya mencium pipi isteri Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr.
Mahu tidak mahu semua orang hendak mendengar komentar Perdana Menteri mengenai interaksinya dengan Presiden Amerika itu tentang isu Palestin yang amat dekat dengan rakyat negara ini.
Apa lagi ada pihak yang jenuh putar dakwaan kononnya kerajaan beri sambutan berlebihan kepada pemimpin negara kuasa besar yang menjadi pendokong utama rejim zionis Israel.
Paling mencuri perhatian tentunya senario Anwar dijemput oleh Trump menaiki kereta rasmi Presiden Amerika ‘The Beast’ bersamanya dari selepas majlis sambutan di KLIA menuju ke tempat persidangan di KLCC.
Keistimewaan pada Anwar ini dikira satu langkah melanggar protokol keselamatan Amerika.
Dalam usaha yang dipercayai untuk mematikan kritikan semberono terhadapnya Perdana Menteri menegaskan beliau telah “melakukan yang terbaik” untuk merayu kepada Trump dan wakil Amerika yang lain semasa pertemuan dua hala rasmi Amerika-Malaysia mengenai isu Gaza.

Anwar juga berkata beliau tidak membiarkan dirinya terpukau dengan limosin berperisai yang digelar “The Beast” yang dinaikinya bersama Trump itu.
“Hubungan diplomasi tidak semua perlu dijerit di luar. Yang penting saudara mewakilkan kepada saya sebagai jurucakap, dan saya bercakap untuk mempertahankan kepentingan rakyat Palestin dan Gaza,” katanya.
Anwar memberitahu beliau memanfaatkan sepenuhnya pertemuan empat mata dengan Trump semasa perjalanan mereka bersama dari KLIA.
“Saya katakan bahawa walaupun saya menyokong usaha beliau (Trump) – dan tiada siapa yang boleh mempertikaikan hakikat bahawa beliau agak bertekad untuk memastikan keamanan di Gaza (dan) menghentikan pembunuhan berterusan – tetapi, saya katakan jika anda bercakap tentang keamanan yang bertahan dan berkekalan, maka ia mestilah komprehensif.
“Beliau menjawab bahawa (isu ini) berada dalam fasa pertama dan mereka sedang berusaha ke arahnya,” kata Anwar.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi ASEAN, berkata rundingan peribadi ’empat mata’ beliau dengan Trump menjadi lebih mudah, memandangkan pemimpin Amerika itu seorang pendengar yang baik.
Ketika berada dalam kenderaan yang diiktiraf paling selamat di dunia itu, isu Gaza disentuh dan beliau turut berkongsi pengalamannya bertemu beberapa kenalan Hamas di Doha, Qatar sebelum ini.
“Saya harus mengakui bahawa beliau mendengar saya dengan teliti. Saya rasa, sudah berusaha sebaik mungkin untuk sampaikan suara ini (tentang Gaza).
Menjawab kritikan daripada pihak tertentu yang mempertikaikan rundingannya dengan Trump… Anwar mempersendakan tanggapan bahawa Malaysia telah “mengalah” kepada Amerika, dengan menegaskan bahawa campur tangan Washington telah memastikan serangan di Gaza dihentikan.

“Jangan lupa – kita boleh menjerit sepuas hati di sini, tetapi orang ramai mati (dan) dibom di Gaza…inilah peluang kita untuk bertemu. Kini, sekurang-kurangnya dengan campur tangan Amerika, serangan telah berhenti, dan penaklukan Tebing Barat terhalang.
“Adakah (pelan damai) berjaya sepenuhnya? Tidak, tetapi sekurang-kurangnya serangan dan pembunuhan telah dihentikan,” katanya.
Mengecam pihak yang cuba mempolitikkan perkara itu, Anwar menegaskan bahawa mereka yang mengadu tentang dakwaan kekurangan ketegasannya harus bertanya kepada diri sendiri: “Siapa yang berani berucap depan Trump?
“Setiap kali saya jumpa dia (Trump), (saya bawa isu) Gaza. Saya berkata: terima kasih atas penyelesaian awal, tetapi bagi penyelesaiannya sepenuhnya, bagi penghormatan kepada rakyat (Palestin), jangan ada lagi perkara ini berlaku. Pastikan kecurangan tidak lagi dilakukan. Itu kita lakukan, kerana apa? Saya Perdana Menteri Malaysia.”
Perdana Menteri menegaskan kehadiran Presiden Amerika ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bukan bermakna Malaysia tunduk kepada mana-mana kuasa besar, sebaliknya langkah strategik untuk memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi demi kepentingan rakyat.
Menurutnya, pertemuan empat mata bersama Trump memberi ruang kepada Malaysia untuk menyuarakan pendirian tegas mengenai isu kemanusiaan di Gaza dan menuntut gencatan senjata, di samping membincangkan peluang pelaburan serta perdagangan antara kedua-dua negara.
Beliau menegaskan, hubungan baik dengan Amerika juga tidak menghalang Malaysia daripada memperkukuh hubungan dengan negara lain seperti China, Kesatuan Eropah, Brazil dan Afrika Selatan, selaras dengan dasar berkecuali dan sederhana yang diamalkan Malaysia.
“Malaysia berkawan dengan semua China, Amerika, Eropah, Brazil dan Afrika Selatan atas dasar saling menghormati dan menjaga kepentingan rakyat, bukan kerana tunduk,” jelasnya.
Menurutnya lagi, rundingan ekonomi bersama Amerika turut menyentuh isu tarif tinggi terhadap barangan Malaysia selain membuka peluang baharu dalam sektor semikonduktor, maritim dan teknologi hijau.
Anwar turut menambah, kejayaan Malaysia menandatangani peningkatan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–China (FTA 3.0) sehari selepas sidang bersama Amerika membuktikan keupayaan diplomasi negara mengimbangi kepentingan dua kuasa besar dunia secara matang dan berprinsip.
Dalam pada itu Anwar juga menegur mereka yang mengecamnya – termasuk individu yang berpengetahuan agama – kerana seolah-olah mencium pipi Louise Araneta-Marcos, isteri Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr semasa majlis sambutan ke Sidang Kemuncak ASEAN.
“Ya, dia pegang (bahu) saya…tetapi, kami tidak bersentuhan,” kata Perdana Menteri, mengaitkan visual yang mengelirukan yang menunjukkan perkara itu disebabkan oleh sudut kamera.
“Bagaimana orang agama boleh menjadi seperti itu? Tak tahu fakta, terus hukum saya munafik, ini maksiat. Tak boleh saudara, macam tu,” tambah Anwar.- 28/10/2025



