TAHUKAH ANDA

‘Malaysian Hospitality’ cerminan kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – PM

Kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berkaitan disifatkan sebagai cerminan nilai perpaduan serta semangat ‘Malaysian Hospitality’ yang menjadi kebanggaan negara di mata dunia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi perkongsian di media sosial, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah menjayakan penganjuran itu dengan penuh dedikasi, sabar dan tanggungjawab, sekaligus menampilkan kehebatan layanan mesra rakyat Malaysia di hadapan para pemimpin serta delegasi antarabangsa.

“Saya amat menghargai pengorbanan rakyat Malaysia yang telah bersama menjayakan persidangan ini dengan penuh sabar, dan menampilkan kehebatan ‘Malaysian Hospitality’ di hadapan delegasi serta pemimpin dunia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Anwar, kejayaan itu tidak hanya mencerminkan kemampuan Malaysia sebagai tuan rumah, tetapi juga roh Malaysia MADANI, rakyatnya bersatu hati, bekerja dengan ikhlas, menjunjung amanah dan meletakkan maruah negara di tempat tertinggi.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada petugas kerajaan, agensi keselamatan, sukarelawan, pihak swasta, pekerja pembersihan, serta rakan media yang memainkan peranan penting menjayakan persidangan berkenaan.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, kejayaan ini adalah cerminan wajah kalian. Teruslah berbakti dengan rendah hati dan keikhlasan yang sama. Negara ini milik kita bersama, dan masa depannya bergantung pada keutuhan nilai, kesungguhan tekad serta kekuatan azam setiap daripada kita,” katanya.

Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan pemimpin ASEAN, rakan-rakan dialog atas komitmen mereka dalam memperkukuh semangat kebersamaan serantau sepanjang persidangan berlangsung di Kuala Lumpur.-30/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button