YANG VIRAL

Di APEC Korea… Trump puji lagi peranan Anwar damaikan Kemboja-Thailand

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, terus merakamkan penghargaan terhadap Malaysia, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam memudah cara pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Accord).

Trump menyifatkan Malaysia sebagai perantara berkesan yang berjaya membawa Kemboja dan Thailand ke meja rundingan selepas pertikaian sempadan yang meragut ribuan nyawa.

“Malaysia sangat hebat dan mereka membantu melaksanakan perjanjian itu. Perdana Menteri Malaysia sangat bagus, seorang yang hebat. Saya baru sahaja bertemu beliau dan dalam tempoh dua hari, kita menandatangani perjanjian tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa Sidang Kemuncak CEO APEC Korea 2025 di sini, hari ini.

Trump berkata, keputusan mempercepatkan usaha damai dibuat ketika AS sedang menjalankan rundingan perdagangan dengan kedua-dua negara berkenaan, sebelum beliau dimaklumkan mengenai situasi tegang di sempadan mereka.

Malaysia kemudiannya menyediakan lokasi rundingan yang selamat, sekali gus membolehkan pemimpin dari Kemboja dan Thailand mencapai persetujuan dalam tempoh singkat.

“Mereka datang sebagai pihak yang bermusuhan, tetapi akhirnya keluar sebagai sahabat. Ia sesuatu yang indah untuk disaksikan,” katanya.

Semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Ahad, Trump dan Anwar menyaksikan pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand.

Ia menandakan langkah bersejarah menamatkan pertelingkahan dan memulihkan keamanan di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian kedua-dua negara.

Pemeteraian itu ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, sambil disaksikan oleh para pemimpin ASEAN serta wakil AS.-30/10/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button