Monday - 23, December 2024

Loke: Maaflah, tiada lagi diskaun saman JPJ

Share

Raveena Nagotra
Diterbitkan: Dec 9, 2023 6:56 PM

Kementerian Pengangkutan telah membuat keputusan tidak akan menawarkan diskaun lagi bagi saman yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kementerian itu telah menetapkan dasar berkenaan sejak dia dilantik sebagai menteri pada 2018.

“Kita sudah ada dasar sejak tahun 2018 lagi. Sejak saya jadi menteri tahun 2018 saya sudah tetapkan dasar tak ada diskaun untuk saman JPJ.

“Mengapa dibuat begitu? Kalau kita ingat saya membatalkan lebih 4 juta saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) pada tahun 2018. Pada ketika itu memang ramai orang menyambut baik tetapi saya sudah beritahu bahawa itu one off sahaja dan bukannya dijadikan sebagai precedent.

“Kalau kita kutip saman itu RM600 juta lebih hasil kepada kerajaan tetapi kita write off (menghapuskannya),” katanya kepada pemberita pada program Setahun Bersama Malaysia Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan beberapa pengunjung tidak berpuas hati apabila mendapat tahu JPJ tidak menawarkan diskaun saman pada acara berkenaan.

Sebanyak 102 perkhidmatan kerajaan disediakan pada acara tiga hari itu, termasuk tawaran diskaun 50 peratus bagi saman kesalahan lalu lintas yang dikeluarkan polis.

Bagaimanapun, beberapa organisasi media melaporkan JPJ turut menawarkan diskaun pada program berkenaan, yang kemudian didapati tidak benar.

Read more

khabar terbaru