
MCMC teliti ekosistem permainan dalam talian
Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti ekosistem keseluruhan aplikasi permainan dalam talian bagi mengambil langkah paling selamat dan adil untuk semua pihak.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, keperluan mewujudkan pelesenan atau pengesahan identiti juga sedang dipertimbangkan bagi memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada kemudaratan dalam talian, khususnya melalui permainan dan aplikasi digital.
Perkara itu sedang diteliti susulan kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan kanak-kanak ketika menggunakan pelbagai platform permainan dan aplikasi dalam talian yang semakin mudah diakses.
Fahmi berkata, beliau sendiri telah mengadakan pertemuan dengan dua wakil Roblox yang berpangkalan di Korea Selatan dan Australia untuk mendapatkan penjelasan mengenai langkah keselamatan dan had penggunaan bagi pemain bawah umur.
Roblox kini sedang melaksanakan proses pengesahan umur menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan kerajaan melalui MCMC akan mengadakan perbincangan teknikal lanjut bagi memahami mekanisme tersebut.
“Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan MCMC sedang meneliti keseluruhan ekosistem ini supaya dasar yang diperkenalkan kelak bersifat menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada satu permainan.
“Pihak Roblox memaklumkan bahawa mereka mengehadkan beberapa fungsi kepada pemain berusia 13 tahun seperti interaksi dan komunikasi dengan pengguna lain. Namun, masih ada aplikasi lain yang terlalu mudah digunakan oleh kanak-kanak.
“Pada waktu ini, permainan dalam talian seperti Roblox dan lain-lain belum lagi dikenakan sebarang rejim pelesenan. Namun kerajaan sedang menilai langkah terbaik termasuk memastikan pengesahan identiti bagi mengelakkan kanak-kanak terdedah kepada kemudaratan dalam talian,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata ketika ini pelesenan hanya terpakai kepada platform media sosial dan sistem pemesejan internet, manakala aplikasi permainan belum termasuk dalam kategori tersebut.
Beliau menjelaskan, kebimbangan itu timbul selepas beberapa insiden melibatkan kanak-kanak, termasuk kes seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang mencederakan adiknya selepas didakwa terpengaruh dengan permainan Roblox.
“Polis sedang menjalankan siasatan dan siasatan awal menunjukkan permainan Roblox ada kaitan. Namun kita serahkan kepada pihak polis untuk menentukan hasil siasatan,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan anak-anak di dunia digital.-1/11/2025



