Dakwaan perjanjian ART Malaysia-AS gadai maruah, mudarat negara bersifat politik semata-mata – PM Anwar
GYEONGJU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan segelintir pihak kononnya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) menggadai dan memudaratkan negara hanya bersifat politik semata-mata.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam mana-mana perundingan pastinya mempunyai tolak ansur, lebih-lebih lagi apabila membabitkan hubungan dan pelaburan yang besar.
Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan Malaysia tetap mementingkan kepentingan nasional dan menjaga maruah.
Anwar berkata, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz juga memberikan penjelasan mengenai perjanjian itu dengan panjang dan jelas di Parlimen.
“Jadi, jika pun kita nak pertikai satu dua perkataan dalam perjanjian itu, tetapi dia (segelintir pihak) menolak, (jadi) kita memutuskan, saya (kata) tak payah kita jelaskan, (sebab) dah berulang kali dijelaskan begitu baik oleh Tengku Zafrul di Parlimen.
“Kalau mereka pilih untuk terus menyerang, itu soal pertimbangan politik,” kata beliau kepada pemberita selepas berakhir hari pertama Mesyuarat Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Gyeongju,Korea Selatan.
Anwar berkata demikian bagi menjawab dakwaan segelintir pihak yang menyifatkan ART sebagai satu penyerahan kebebasan ekonomi selain mengandungi pelbagai peruntukan ‘jerangkap samar’ atau ‘bom jangka’ yang boleh memudaratkan Malaysia pada masa akan datang.
“Perjanjian ini bukan satu-satunya perjanjian di dunia. Perjanjian ini berlaku bagi semua negara, dan kita lihat keseluruhan konteksnya dan juga implikasi, dan apa ruang untuk kita…bukan mengelak, tetapi ruang untuk kita mencari jalan alternatif. Perjanjian semua begitu,” kata Anwar.
“Tetapi yang penting, apakah kita boleh menafikan kepentingan hubungan baik kita dengan AS? Tidak boleh. Kita ada pertemuan dengan (Presiden AS) Donald Trump, kita ada pertemuan dengan Perdana Menteri China Li Qiang, berhati-hati membincangkan soal-soal secara terperinci termasuk semikonduktor dan nadir bumi.
“Soal itu semua dibincangkan. Jadi, untuk mengatakan kita buat ini (untuk) menyerah kepada Amerika, itu satu pembohongan,” katanya.
Anwar turut menegaskan pemeteraian ART sudah mengambil kira kepentingan nasional dan undang-undang negara, yang menjadi dorongan utama bagi memastikan kejayaan Malaysia.
“Bagi mencapai matlamat ini, kami memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan, bukan dengan kemarahan, pertelingkahan yang berlarutan.
“Ada masanya… adakah kita berkompromi atau mengalah dalam pendirian kita mengenai isu Gaza? Tidak. Adakah saya memberitahu Trump untuk bersetuju dengan semua aspek? Tidak. Kami menyatakan bahawa kami menyokong fasa pertama, kami mahukan penyelesaian yang menyeluruh,” katanya.
Mengulas pendekatan Malaysia terhadap diplomasi global, termasuk ketegangan antara AS dan China serta penglibatan dengan Brazil dan Afrika Selatan, Anwar berkata beliau menangani cabaran ini berdasarkan kepentingan nasional Malaysia.
“Bagaimana anda menangani situasi yang tidak menentu seperti ketegangan antara AS dan China? Bagaimana anda mempunyai keberanian untuk melibatkan Brazil dan Afrika Selatan dalam satu forum bersama-sama Presiden Donald Trump dan AS?
“Respons saya adalah kita membuat keputusan berdasarkan kepentingan nasional,” katanya.- 1/11/2025



