
‘Muslim Choice’ bukan perakuan, penandaan halal diiktiraf pihak berkuasa
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan penggunaan istilah Muslim Choice atau seumpamanya yang diperkenalkan mana-mana pihak, bukan perakuan atau penandaan halal yang diiktiraf pihak berkuasa.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, istilah diperkenalkan Pasukan Pemantau Mesra Muslim (MFW) itu antara lain boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung status halal sesuatu produk atau premis.
Katanya, tujuan MFW membuat penarafan itu didakwa untuk memberi keyakinan kepada pengguna Muslim mengenai produk atau premis yang diiktiraf pertubuhan berkenaan sebagai berkualiti, bersih, selamat serta selari prinsip Islam.
Justeru, beliau menasihati semua pihak supaya tidak menggunakan atau mempamerkan sebarang bentuk logo, simbol, istilah, kenyataan atau ungkapan yang boleh memberi tanggapan halal tanpa pengesahan daripada JAKIM atau Majlis Agama Islam negeri (MAIN), mahupun Jabatan Agama Islam negeri (JAIN).
“Berdasarkan peruntukan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, hanya JAKIM dan MAIN atau JAIN diberi kuasa mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta memberi kebenaran penggunaan logo Halal Malaysia kepada pihak diperakukan.
“Sebarang penggunaan logo, simbol, istilah, kenyataan, atau ungkapan yang membawa maksud halal dan boleh dimakan umat Islam yang dikeluarkan mana-mana pihak selain JAKIM atau MAIN/JAIN, adalah tidak sah serta menyalahi peraturan.
“Ia juga boleh menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara dan mengelirukan pengguna Muslim,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau mengulas tindakan MFW memperkenalkan pengiktirafan Muslim Choice kepada pengusaha menepati syarat dan piawaian ditetapkan pertubuhan terbabit.
Mengulas lanjut Sirajuddin berkata, JAKIM pernah bertemu MFW pada 23 Ogos 2024, memaklumkan pengiktirafan Muslim Choice dijalankan pertubuhan terbabit boleh mendatangkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Pada pertemuan itu, katanya, JAKIM turut meminta MFW menghentikan tindakan berkenaan.
“Bagaimanapun, berdasarkan aduan daripada pihak berkuasa agama negeri, MFW dikesan masih meneruskan aktiviti terbabit,” katanya.-3/11/2025



