KEMBARA

Muzium Budaya Borneo diundi nombor satu dunia

Sarawak terus melakar pencapaian membanggakan apabila Muzium Budaya Borneo (BCM) kini berada di kedudukan pertama menerusi senarai undian dalam talian di laman sesawang Museum World Ranking (MWR).

Kejayaan itu dapat dilihat apabila BCM meraih sebanyak 6,610 undian setakat jam 6.16 petang hari ini, sekali gus mengatasi Louvre di Paris yang berada di kedudukan kedua dengan 4,034 undian, serta National Museum of Anthropology, Mexico yang mencatatkan 4,011 undian dan menduduki tempat ketiga.

Di kedudukan keempat ialah National Palace Museum, Chinese Taipei dengan 3,998 undian, manakala tempat kelima ialah Guggenheim Museum Bilbao, Sepanyol dengan 3,918 undian setakat waktu tersebut.

Pencapaian BCM, yang juga muzium terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara, amat membanggakan kerana berjaya mengangkat nama Sarawak ke persada dunia.

BCM merupakan muzium dengan keluasan bangunan 31,000 meter persegi, meliputi lima tingkat ruang pameran yang terdiri daripada pameran tetap, galeri kanak-kanak, pameran sementara, bilik majlis, bilik VIP, auditorium, restoran, kantin dan kedai cenderamata.

Turut disediakan ialah Galeri Seni dan Kraf yang menempatkan makmal aktiviti khas serta studio tarian.

BCM terus mencatatkan prestasi cemerlang sebagai antara destinasi pelancongan utama di Sarawak apabila menerima seramai 117,095 kunjungan pelawat dari Januari hingga 16 Jun lalu.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memaklumkan bahawa sejak dibuka secara rasmi pada 2022, muzium tersebut telah menerima seramai 1,354,275 pelawat secara keseluruhan.

Sebelum ini, menerusi hantaran Facebook BCM pada 22 Oktober lalu, muzium tersebut memaklumkan bahawa ia telah tersenarai dalam MWR, satu pengiktirafan global terhadap muzium terbaik dunia.

Dalam hantaran itu, BCM turut menyatakan hanya tiga muzium di Malaysia berjaya tersenarai, iaitu Muzium Budaya Borneo, Muzium Negara dan Muzium Tekstil Negara.

Ketika itu, BCM berada di tangga ke-305 daripada 413 muzium di seluruh dunia.-5/11/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button