
Malaysia, PM Anwar dipuji Sarjana Rusia cekap kendalikan Sidang Kemuncak ASEAN
Kecekapan Malaysia mengendalikan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan sidang berkaitan baru-baru ini mendapat pujian meluas daripada pemimpin dan tokoh antarabangsa, termasuk Profesor Victor Pogadaev, sarjana Rusia yang fasih berbahasa Melayu.
Pogadaev menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja sebagai tokoh politik, tetapi juga sebagai negarawan, ilmuwan dan pemimpin beradab tinggi.
Beliau turut mengagumi minat Anwar terhadap sastera dunia, termasuk karya dari Rusia.
Pujian terhadap Malaysia turut disuarakan oleh Presiden China, Xi Jinping, yang memuji kejayaan penganjuran sidang serta pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur.
Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Scott Bessent, turut menyampaikan ucapan tahniah.
Walaupun tempoh kepengerusian ASEAN 2025 telah berakhir, Malaysia terus memainkan peranan aktif dalam memperkasa masa depan blok serantau itu, termasuk memastikan kedudukan anggota baharu Timor Leste terpelihara.
Ucapan penghargaan juga diterima daripada pemimpin negara jauh seperti Mexico dan Emiriah Arab Bersatu.
Rusia pula diwakili Timbalan Perdana Menteri Alexey Overchuk dalam sidang tersebut.
Malaysia secara rasmi menyerahkan kepengerusian ASEAN kepada Filipina, menandakan peralihan kepimpinan ketika negara ini memasuki fasa akhir sebagai pengerusi bagi tahun 2025.-5/11/2025



