TAHUKAH ANDA

Lebih 10,000 kes cerai di Selangor tahun ini… tertinggi di Malaysia

Tahukah anda… Selangor merekodkan jumlah kes perceraian pasangan Islam tertinggi di Malaysia bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, dengan 10,774 kes dilaporkan sehingga September.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syarie Malaysia (JKSM), secara keseluruhan sebanyak 53,245 pasangan Islam di seluruh negara disahkan bercerai oleh Mahkamah Syariah dalam tempoh berkenaan.

Datuk Mohd Amran Mat Zain berkata selain Selangor, negeri lain yang mencatat angka tinggi termasuklah Johor (6,078 kes), Kedah (4,582), Perak (3,908) dan Kelantan (3,820).

“Jumlah ini hanya melibatkan kes yang telah disahkan mahkamah dan tidak termasuk kes yang masih pada peringkat permohonan,” katanya seperti dilapor BH Online.

Katanya, jenis perceraian tertinggi melibatkan permohonan lafaz cerai di depan hakim (31,845 kes) diikuti pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah (15,972), tuntutan fasakh (4,090), taklik (1,257) dan tebus talak (81).

Mohd Amran menjelaskan, antara lima punca utama perceraian dikenal pasti ialah kegagalan menunaikan tanggungjawab, tiada persefahaman, masalah kewangan, kecurangan serta penglibatan dalam jenayah atau penyalahgunaan dadah.

“Bagi memastikan perceraian bukan jalan terakhir, setiap permohonan akan melalui proses mediasi atau sulh terlebih dahulu. Sekiranya berjaya, pasangan akan berdamai dan tidak perlu meneruskan kes di mahkamah,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan kursus lanjutan selepas perkahwinan bagi membantu pasangan muda menguruskan rumah tangga dengan lebih berkesan.

“Pasangan disaran mengikuti kursus keibubapaan dan pengurusan rumah tangga dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun pertama perkahwinan bagi mencegah konflik dan salah faham,” ujarnya.

JKSM turut menubuhkan Bahagian Sokongan Keluarga bagi memberi penerangan tentang hak-hak pasangan dan bantuan undang-undang kepada masyarakat, termasuk melalui program bersama pelajar universiti.-7/11/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button