
Kes 22 ahli GISB Holdings Sdn Bhd sudah beres…
Kes mahkamah 22 ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang didakwa atas tuduhan menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang beres pada Jumaat setelah mereka mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman serta kemudian dibebaskan.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan terhadap 13 ahli lelaki GISBH, manakala sembilan anggota wanita masing-masing dikenakan denda RM4,500.
Hukuman itu dijatuhkan selepas semua mereka mengaku bersalah menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang, iaitu pertuduhan alternatif yang ditawarkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) selepas menerima surat representasi pihak pembelaan.
Pertuduhan alternatif itu dikemukakan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.
Kesemua tertuduh membuat pengakuan itu, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Seri Latifah Mohd Tahar, yang bersidang di Kompleks Penjara Kajang.
Peguam mereka, Kamal Hisham Jaafar dan Rosli Sulaiman memberitahu semua tertuduh telah menamatkan tempoh hukuman penjara kerana ia dikira bermula dari tarikh tangkapan.
“Mereka tidak perlu kembali ke Penjara Sungai Buloh lagi. Semua urusan akan diselesaikan di sini hari ini,” kata Kamal.
Menurutnya, tempoh penjara bagi tertuduh lelaki bermula dari tarikh tangkapan pada 25 Sept hingga 12 Okt tahun lalu, dan mereka telah berada dalam tahanan reman.
“Mahkamah mengambil kira tempoh reman dan potongan suku masa tahanan (quarter remission). Jadi, dengan kiraan itu, mereka telah selesai menjalani hukuman penjara,” katanya.
Bagi sembilan tertuduh wanita yang masing-masing dikenakan denda RM4,500, Rosli berkata, pembayaran akan dibuat di lokasi sama sebelum mereka turut dibebaskan.
“Penjamin mereka akan membayar denda selepas prosiding, dan mereka juga akan dibebaskan hari ini,” kata Kamal lagi.
Antara yang tertuduh ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali
Selain itu ialah Adib At-Tamimi, 33, anak kepada pengasas Al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad.
Turut disenaraikan sebagai tertuduh ialah Shukri Noor, 54; Afdaluddin Latif, 35; Sayuti Omar, 36; Fazil Jasin, 58; Dhirar Fakhrur Razi, 35; Mokhtar Tajuddin, 61; Fajrul Islam Khalid, 29; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; Shuhaimi Mohamed, 57; Hasnan Abd Hamid, 54; dan Zahid Azhar @ Nadzri, 52.
Bagi kumpulan wanita pula: Khalilatul-Zalifah Jamil, 28; Nur Jannah Omar, 33; Hamimah Yakub, 72; Asmat @ Asmanira Ramly, 45; Nurul Jannah Idris, 29; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; dan Mahani Kasim, 55.
Mereka sebelum ini didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan, namun Jabatan Peguam Negara telah menerima representasi dikemukakan kesemua tertuduh bagi mengkaji pertuduhan dihadapi mereka.
Mengikut pertuduhan pilihan itu, kesemua mereka didakwa menjadi anggota GISBH yang merupakan sebuah pertubuhan menyalahi undang-undang di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang antara Oktober 2020 hingga 11 Sept 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Rosli dilaporkan berkata ahli GISBH, khususnya Nasiruddin, lega dengan keputusan hari ini dan berhasrat untuk kembali ke landasan ajaran Islam arus perdana. – 7/11/2025



