
Khairy masih main teka teki…
Sudah hampir tiga tahun lamanya sejak Khairy Jamaluddin dipecat dari UMNO pada Januari 2023.
Pada Jumaat…buat kali pertama bekas pemimpin kanan UMNO dan bekas Menteri itu melangkah masuk ke bangunan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) yang juga menempatkan ibu pejabat UMNO.
Khairy hadiri sebagai salah seorang penalis program Rundingan Meja Bulat Pendidikan Nasional 2025: Reformasi Sistem Pendidikan Zaman AI dan Pemerkasaan Institusi Guru.
Turut hadir ialah Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Akmal Saleh.
Kehadiran Khairy di situ pada ketika hangat berlegar desas desus kemungkinan beliau kembali ke pangkuan parti itu sudah tentu mencuri perhatian ramai.
Dengar cerita ada kalangan pemerhati politik yang bertaruh sakan sesama mereka apakah Khairy akan masuk balik atau tidak.
Jangan hairan jika dengar masih ramai yang meragui kemungkinan itu.
Kalangan wartawan yang ligat berusaha untuk korek kemungkinan ada khabar terbaru dari Khairy juga hampa.
Khairy masih kekal dengan jawapan yang terus main teka teki.
“Saya dah maklum tadi, nanti bila tiba masa untuk saya buat pengumuman.
“Saya akan maklum pada pihak media. Tak pasti lagi,” katanya kepada media di majlis itu.
Sebelum ini pun beliau telah memberi jawapan yang hampir sama dicelah kehangatan isu berkenaan.
Khairy yang jua bekas Menteri Kesihatan dan bekas Ahli Parlimen Rembau dipecat daripada UMNO berikutan kelantangannya mengkritik kepimpinan tertinggi parti ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau tewas ketika bertanding sebagai calon BN di kerusi Parlimen Sungai Buloh lawan calon PH Datuk Sri Ramanan Ramakrishnan yang kini Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Khairy selama ini mengambarkan hatinya masih tetap dengan UMNO bila ada yang bertanya kenapa beliau tidak sertai parti lain.
Namun baru baru ini ketika ada pihak mempersoalkan kesetiaannya semasa kehangatan desas desus nak masuk balik UMNO beliau menegaskan bukan dirinya yang keluar dari UMNO sebaliknya dipecat dari parti itu.
Memanglah kalau ikut gembar gembur dan segala macam gosip politik kebelakangan ini bunyinya seolah Khairy sudah diambang nak masuk kembali dalam UMNO bila bila masa sekarang.
Ia dihangatkan lagi dengan insiden kebetulan terserempak dengan Presiden UMNO Datuk Sri Zahid Hamidi di majlis kenduri kahwin anak perempuan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman di dewan WTC baru-baru ini.
Dari itu keluar cerita konon Zahid sudah beri ‘restu’ Khairy masuk balik UMNO.
Namun Selasa lalu ketika ditemui media selepas satu majlis di PICC,Putrajaya Timbalan Perdana Menteri itu menjelaskan bahawa pertemuannya dengan Khairy hanyalah secara kebetulan dan tidak melibatkan sebarang perbincangan politik.
“Saya cuma bertemu dengan beliau di majlis perkahwinan dan kami tidak berbincang apa-apa pun. Apa yang terpapar di media hanyalah berita yang ditulis oleh media.
“Saya amat menghormatinya dan tidak mahu menyanggah mana-mana wartawan yang menulis mengenai perkara itu, seperti mana yang pernah disanggah oleh seseorang,” ujarnya.
Dr Akmal yang ditemui wartawan pada majlis itu terus memberikan isyarat positif terhadap kemungkinan Khairy kembali bertaut dengan parti berkenaan.
Beliau berkata Pemuda UMNO memang bersikap terbuka dan menyambut baik jika ada mana-mana pemimpin parti mahu menyertai mereka semula.
Tambahan pula, katanya, jika individu terbabit – sama ada digantung atau dipecat – menunjukkan kesetiaan kepada UMNO dan membuat permohonan seperti yang ditetapkan.
“Sudah tentu (harap Khairy kembali)… saya dah maklumkan sejak tahun pertama saya jadi ketua Pemuda UMNO, parti ini tidak boleh dipecah-pecahkan.
“UMNO ini perlu disatukan, mana ahli yang masih setia dan percaya dengan perjuangan UMNO kita mengalu-alukan kehadiran mereka.
“Kita mengalu-alukan semua, bukan sahaja KJ (Khairy) malah semua yang digantung, yang dibuang tapi masih kekal setia dalam parti.
“Kenapa nak gaduh lama-lama saya kata. Jadi biarlah kita bersatu, bertaut, yang penting UMNO ini boleh dibawa ke depan,” katanya.- 7/11/2025



