
Kementerian Komunikasi kagum momentum Majlis Media Malaysia
Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) mencerminkan pencapaian reformasi industri media negara dalam memperkukuh kredibiliti industri media, etika kewartawanan dan memelihara profesionalisme serta kebajikan pengamal media.
Kementerian Komunikasi (KK) dalam satu kenyataan tadi, yakin kepelbagaian kepakaran dan pengalaman dimiliki barisan Ahli Lembaga MMM mewakili syarikat media, wartawan dan persatuan serta orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), membolehkan MMM menjalankan tanggungjawabnya secara berkesan.
“MMM perlu bertindak secara bebas dan berintegriti dalam menetapkan piawaian amalan kewartawanan serta mengendalikan aduan awam berkaitan media dengan penuh ketelusan, selaras dengan prinsip media yang beretika.
“Dengan momentum baharu ini, kementerian komited dalam menyokong peranan MMM bagi memperkaya landskap media yang berwibawa dan meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap media,” katanya.
Tambah kenyataan itu, KK turut merakamkan ucapan tahniah kepada MMM atas kejayaan melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan pertamanya kelmarin.
“Kementerian turut mengucapkan tahniah kepada 12 individu yang dipilih menganggotai Lembaga MMM. Mereka akan memainkan peranan penting dalam memacu hala tuju dan fungsi kawal selia kendiri media negara menerusi MMM,” katanya.-9/11/2025



