TAHUKAH ANDA

Tujuh pemain warisan yang digantung FIFA mahu tuntut ganti rugi

Pulak dah… Susulan kesilapan teknikal yang diakui sendiri Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyaksikan kemungkinan isu tujuh pemain negara yang digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bakal memasuki episod baharu.

Difahamkan, tujuh tonggak sedang berkira-kira untuk menuntut ganti rugi kepada FAM yang sebelum ini mengakui berlakunya kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen dilakukan kakitangan pentadbiran FAM.

Menurut sumber, langkah berkenaan sedang dipertimbangkan oleh pemain berkenaan ekoran kecuaian itu hingga menyebabkan mereka digantung FIFA selama 12 bulan.

Malah, ada beberapa pemain turut hilang mata pencarian selepas kontrak ditamatkan serta-merta oleh kelab disebabkan isu itu.

“Difahamkan peguam di luar negara sedang berunding dengan tujuh pemain itu bercadang untuk mempertimbangkan menyaman FAM kerana kesilapan teknikal yang mereka sendiri sahkan.

“Mereka (tujuh pemain) boleh berbuat begitu dan ia bukan perkara mengejutkan kerana periuk nasi mereka hilang sebab digantung.

“Langkah menuntut ganti rugi itu bagi membolehkan mereka membersihkan nama mereka.

“Ini penting untuk mereka mencari kelab baharu selepas tempoh penggantungan berakhir nanti,” kata sumber.

Untuk rekod, pada 28 September lalu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen oleh pihaknya menyebabkan FIFA menggantung FAM.

Susulan itu, satu Jawatankuasa Bebas ditubuhkan FAM bagi menyiasat apabila tugas Noor Azman selaku Setiausaha Agung digantung buat sementara bagi membolehkan proses berkenaan dijalankan secara adil dan telus.

Terdahulu, Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mengekalkan penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain serta denda CHF2,000 (sekitar RM10,800) setiap seorang dan CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) kepada FAM.

Tujuh pemain yang terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garcas, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Iraurgui dan Hector Hevel di atas kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.

FAM ketika ini sedang menanti keputusan bertulis dan selepas penerimaan keputusan itu, mereka memiliki 21 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).-10/11/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button