KEMBARA

Tempat menarik yang percuma di KL… Memorial Tunku Abdul Rahman Putra

Ini tempat menarik yang percuma untuk bawa anak-anak belajar tentang sejarah di Kuala Lumpur Memorial Tunku Abdul Rahman Putra (MTARP).

Memorial itu dibina bagi menghargai jasa dan perjuangan Bapa Kemerdekaan Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, yang berperanan penting dalam membentuk identiti serta asas perpaduan negara.

MTARP dibina di atas tapak seluas lima ekar, dengan keluasan bangunan sekitar 110,000 kaki persegi, manakala kos pembinaan menelan sebanyak RM30 juta, hasil gabungan dana kerajaan serta sumbangan sektor swasta.

Projek itu bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi menjadi simbol semangat kebangsaan dan penghargaan rakyat Malaysia terhadap pemimpin yang banyak berjasa.

Memorial terbesar, himpun lebih 80,000 koleksi bersejarah

MTARP menjadi antara memorial terbesar di dunia yang menghimpunkan bahan berkaitan seorang pemimpin, melebihi 80,000 koleksi bersejarah meliputi dokumen, surat peribadi, gambar, pakaian rasmi dan pelbagai artifak unik milik Tunku Abdul Rahman.

Daripada aspek keluasan dan jumlah koleksi pula, ia lebih besar daripada beberapa ‘Presidential Library’ di Amerika Syarikat, termasuk Ronald Reagan dan Richard Nixon Memorial.

MTARP mengekalkan elemen seni bina kolonial Inggeris, menggambarkan warisan sejarah lebih 120 tahun bangunan asal.

Koleksi menarik di sini meliputi kereta Cadillac Fleetwood 1959 milik Tunku, dokumen asal rundingan kemerdekaan, pakaian rasmi, serta perabot asal kediaman beliau.

Setiap ruang pameran pula direka untuk membawa pengunjung menyelusuri perjalanan hidup Tunku, dari zaman awal pendidikan hingga ke pentas antarabangsa memperjuangkan kemerdekaan tanah air.

Kini, Memorial Tunku Abdul Rahman Putra diselia Arkib Negara Malaysia di bawah kategori Arkib Memorial.

Ia bukan sekadar destinasi pelancongan sejarah, tetapi meniadi pusat pendidikan dan penyelidikan yang memberi peluang kepada pelajar, pengkaji serta masyarakat untuk mendalami nilai perjuangan selain semangat patriotik Almarhum Tunku.

Memorial ini terus menjadi simbol penghargaan abadi terhadap tokoh yang mengasaskan Malaysia moden, serta ruang untuk generasi kini memahami erti sebenar kemerdekaan dan perpaduan.-11/11/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button