
Pilihanraya negeri Sabah…meriah…Hajiji hadapi saingan 5 penjuru…Bung Mokthar 6…ada yang 14
Cuba tanya kalangan orang Sabah yang cukup arif tentang senario pilihanraya di negeri itu.Jangan hairan kalau mereka tidak langsung nampak terkejut sebaliknya tersenyum mendengar kisah banyak calon bertanding untuk rebut sesuatu kerusi.
Ini sama macam kisah lompat melompat parti menjelang pilihanraya.Tiada siapa yang ambil pusing.
Di Sabah semuanya ada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 29 November manakala pengundian awal pada 25 November.
Tempoh berkempen berlangsung selama 14 hari mulai hari ini sehingga 11.59 malam pada 28 November.
Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi dalam pilihanraya negeri (PRN) kali ini, terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera dan pasangan, serta 12,729 anggota polis dan pasangan.
Pada hari penamaan calon pilihanraya negeri (PRN) ke 17 antaranya Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berdepan saingan lima penjuru di DUN Sulaman yang terletak di daerah Tuaran.

Beliau ditentang calon muda dan muka baharu daripada Barisan Nasional (BN), Dr Shahnon Rizal Thaijuddin selain Mokhtar Hussin (Parti Warisan), Tiaminah @ Siti Aminah Ele (Perikatan Nasional) dan Pajudin Nordin (Parti Impian Sabah).
Pada PRN lepas, Hajiji menang kerusi Sulaman dengan majoriti 3,099 undi.
DUN Sulaman mempunyai 18,352 pengundi berdaftar.
Sementara itu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berdepan saingan enam penjuru bagi mempertahankan kerusi DUN Lamag di daerah Kinabatangan.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan ditentang Johainizamshah Johari daripada GRS, Salahuddin @Saalahuddin Anoi (Parti Impian Sabah – PIS), Mohd Saifulah Lokman (Parti Warisan – Warisan), Mohd Ismail Ayob (Bebas) dan Mazlin Madali (Perikatan Nasional – PN).
Pada PRN lepas, Bung Moktar menang kerusi Lamag yang pertama kali dipertandingkan dengan majoriti 661 undi.
DUN Lamag mempunyai 13,859 pengundi berdaftar.

Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berdepan saingan empat penjuru untuk kerusi DUN Senallang.
Penyandang kerusi itu dicabar Datuk Marunda KK Ampong daripada GRS, Mohd Lipai @ Samsu Sundalu mewakili Parti Impian Sabah (PIS) dan Abdul Majid Angkulan daripada Parti Bersatu Sasa Malaysia (BERSAMA).

Shafie juga adalah Ahli Parlimen Semporna.
Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi yang mewakili Pakatan Harapan (PH) berdepan saingan empat penjuru di DUN Merotai.

Beliau berdepan penyandang kerusi berkenaan, Sarifuddin Hata yang mewakili Parti Warisan selain Hasan Haris mewakili Perikatan Nasional (PN) dan calon Parti Impian Sabah (PIS), Rhyme Kassim.
DUN Merotai dalam Parlimen Kalabakan mempunyai 26,179 pengundi pendaftar.
Pada pilihan raya lalu Sarifuddin memenangi kerusi ini dengan majoriti 1,587 undi.
Paling ramai calon berentap untuk sesuatu kerusi ialah di DUN Tulid.
Seramai 14 calon bertanding termasuk enam calon Bebas.
Naib Ketua Wanita PKR, Datin Rufinah Pengeran yang mewakili Pakatan Harapan (PH) menjadi antara tumpuan di kerusi tersebut.
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang sebelum ini mengumumkan keluar daripada PH pula mempertaruhkan Mohd Khairil Abdullah.
Warisan; Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM); Parti Impian Sabah (PIS); Parti Kebangsaan Sabah (PKS); Parti Rumpun Sabah (Rumpun) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) turut meletakkan calon masing-masing.
Di DUN Sulabayan, Naib Presiden Warisan Datuk Dr Jaujan Sambakong dicabar tujuh calon, iaitu Bidin Jawa daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Abd Malik Abd Bool (Perikatan Nasional).
Pencabar lain ialah Hasaman Sagaran (Parti Kerjasama Anak Negeri), Mohd Julpikar Ab Mijan (Pakatan Harapan) Mat Roya@Abdul Mutalib (Parti Impian Sabah), Datuk Adillah Hamid (Bebas) dan Sumini Yasintus yang menjadi wakil tunggal calon wanita mewaklili Parti Perpaduan Sabah.
Turut menjadi tumpuan ramai ialah dua anak Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman yakni Datuk Yamani Hafez dan Hazem Mubarak.
Yamani Hafez,calon PKR yang merupakan bekas Timbalan Menteri Kewangan II menghadapi cabaran 10 penjuru di DUN Sindumin.
Kerusi DUN Sindumin sebelum ini dimenangi Yusof Yacob yang mewakili Parti Warisan dalam PRN Sabah ke-16 pada tahun 2020.
Hazem Mubarak mewakili GRS pula bakal ditentang lima lagi calon di kerusi DUN Sungai Manila.
Calon BN Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin bakal menghadapi saingan sembilan penjuru di kerusi DUN Bongawan.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis bakal dicabar bekas Menteri Luar, Tan Sri Anifah Aman dan penyandang kerusi DUN Bongawan iaitu Dr Daud Yusof yang mewakili Parti Warisan.
Sebagai rekod, Anifah yang mewakili GRS pernah bertanding di kerusi sama sebagai calon Parti Cinta Sabah (PCS) dalam PRN Sabah ke-16 pada tahun 2020.
Beliau ketika itu tewas kepada Daud dengan majoriti 1,802.
Anifah pernah menjawat jawatan Menteri Luar antara tahun 2009 hingga 2018 di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.
Daud pula berjaya merampas kerusi tersebut daripada Mohamad dengan majoriti 795 pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 2018.
Selain tiga nama besar itu, DUN Bongawan turut menyaksikan kehadiran calon dari Perikatan Nasional (PN); Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM); Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS): Parti Impian Sabah (PIS); Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan seorang calon Bebas.
PN mempertaruhkan Ridzuan Agus Payong; Peter Matinjal mewakili KDM manakala Hussin Dasar @ Esah menjadi calon PPRS di kerusi tersebut.
Sementara itu, Royston Adven menjadi calon PIS diikuti Dolores Michael untuk STAR dan calon Bebas iaitu Md Haris Md Tahir.
Bekas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) berdepan saingan 11 penjuru di DUN Pintasan.
Bertanding mewakili GRS, beliau ditentang calon BN Tadzul Radim, Awang Salleh Makmud (Perikatan Nasional), Raplin Samat (Parti Solidariti Tanah Airku atau STAR) dan Abdullah Otong (WARISAN).
Pandikar turut dicabar oleh calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Almudin Kaida, Lomog Rudin @ Efejus Rudin (Parti Impian Sabah atau PIS), Mohd Rizal Saiman (Bebas), Syarif Mohd Shukree Danchingan (Bebas), Tajuddin Padis (Bebas) dan penyandang kerusi itu, Datuk Fairuz Renddan, yang bertanding atas tiket Bebas selepas tidak dicalonkan GRS.
Di DUN Tempasuk pula, penyandangnya Datuk Mohd Arsad Bistari (GRS) berdepan pertandingan tujuh penjuru menentang John Samud (KDM), Dr Rimin Manun (Parti Gemilang Anak Sabah atau GAS), Azuwan Marjan @ Norjan (BN), Timuti Majitol (PIS), Mohd Khidir Lamsil (WARISAN) dan Walter Mark Mukis (STAR).
Bagi DUN Usukan, bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak (BN) yang juga Bendahari UMNO Sabah mempertahankan kerusi berkenaan dalam saingan enam penjuru berdepan Jaefris Muadis (PIS), Isnaraissah Munirah Majilis (WARISAN), Ajun Meliyon (Bebas), Datuk Japlin Akim (GRS) dan Mohd Lin Harun (STAR).
Sementara itu, Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick turut mencuri perhatian di DUN Kadamaian apabila berdepan perlawanan lapan penjuru menentang Norman Simon (WARISAN), Judin Tingih (Parti Bangsa Malaysia), Daibi Mandadi (PIS), James Muyau (GRS), Davylandon Rubbin (STAR), Josley Taising (KDM) dan Priskila Akwila Sinem (Parti Kerjasama Anak Negeri atau Anak Negeri).
Dua kerusi tumpuan di Parlimen Tuaran, DUN Tamparuli dan Kiulu, masing-masing menyaksikan saingan 13 dan lapan penjuru.
Di DUN Tamparuli, bekas pensyarah kanan universiti, Dr Bonaventure Boniface, akan mewakili GRS bagi menggantikan penyandang terdahulu, Datuk Jahid Jahim.
Beliau akan berdepan cabaran daripada Datuk Wilfred Madius Tangau (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), yang juga Ahli Parlimen Tuaran.
Turut memberi saingan di kerusi berkenaan ialah Jinitoh Sontori daripada Parti Solidariti Tanahairku (STAR); Julia Ongkili (Parti Impian Sabah); Lee Han Kyun @ Joseph Lee (Parti Warisan); serta Dr Gaim James Lunkapi daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Selain itu, Parti Anak Negeri meletakkan Arthur Erik Lee; manakala Parti Rumpun mencalonkan Aliusus Sipil.
Lima calon Bebas juga memberi tentangan masing-masing Vun Yun Fook, Samson S.Koroh @ Razali Suffian, Johan Jahid, Andrew Mali, serta Raymond Alfred @ Jenry.
Di DUN Kiulu pula, penyandang kerusi itu iaitu Datuk Joniston Bangkuai daripada GRS bakal mempertahankan kedudukannya menentang tujuh pencabar lain.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) akan ditentang oleh Ketua STAR Bahagian Kiulu, Terence Sinti.
Selain itu, memberi saingan ialah Niyky @ Niky J. Bosikol (Parti Impian Sabah), Joisin Romut (UPKO), dan Saibin Gunsari (Warisan).
Sementara itu, KDM mempertaruhkan bekas pemain bola sepak, Henry Saimpon di kerusi DUN Kiulu.
Dua lagi calon yang memberi saingan kepada Joniston ialah Trevor Kenneth Maringking (Parti Anak Negeri), dan Dusi Gingging daripada Parti Kebangsaan Sabah (PKS).
Kerusi DUN Sukau menyaksikan Setiausaha BN Sabah Datuk Jafry Ariffin selaku penyandang berdepan saingan tujuh penjuru.
Jafry dicabar Datuk Juhari Janan (GRS), Afiq Anwari Zulkifli (Parti Kebangsaan Sabah – PKS), Roslan Madali (PIS), Azahari Rangon (Warisan), Nordin Damit (Perjuangan Rakyat – PR), Datuk Juhari Janan (GRS) dan Pengiran Petra Pengiran Asri (PN). -15/11/2025



