
74 Calon Bebas bertanding PRN Sabah
Calon Bebas muncul sebagai entiti terbesar pada pilihanraya negeri (PRN) Sabah kali ini, mengatasi parti politik.
Seramai 74 orang bertanding kali ini berbanding pada pilihan raya lalu 56 Calon Bebas yang bertanding.
Pengerusi Suruhanjaya Plihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun dalam satu kenyataan beritahu semuanya 596 calon dijangka bertanding bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri.
Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan bertanding di 55 kerusi DUN, diikuti Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) 46 kerusi, Barisan Nasional (BN) di 45 DUN, Perikatan Nasional (PN) di 42 DUN.
Manakala Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) diterajui presidennya yang juga bekas Menteri, Datuk Ewon Benedick akan bertanding di 25 kerusi DUN dan Pakatan Harapan (22 DUN), Parti Kebangsaan Sabah (PKS) 20 kerusi.
Sementara Parti Warisan bertanding di 73 kerusi DUN dan Pejuang turut mengambil bahagian, bertanding satu kerusi DUN. Manakala baki kerusi adalah parti-parti lain.
“Satu kerusi DUN merekodkan pertandingan 14 penjuru, 13 penjuru (empat DUN), 12 penjuru (dua DUN), 11 penjuru (enam DUN), 10 penjuru (sembilan DUN), lapan penjuru (lapan DUN), tujuh penjuru (10 DUN), enam penjuru (13 DUN), lima penjuru dan empat penjuru masing-masing lapan dan dua DUN,’’ katanya.
Beliau memberitahu, 205 calon-calon berusia 60 tahun ke atas dengan calon paling tua berusia 86 tahun iaitu di DUN Bingkor manakala paling muda berusia 24 tahun, yang bertanding di DUN Silam.
Tambahnya, 525 calon bertanding adalah lelaki manakala 71 lagi adalah wanita.
SPR, jelas Ramlan, telah menubuhkan 86 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) untuk memantau semua aktiviti calon bertanding ketika berkempen.-15/11/2025



