
Borneo Arts Festival 2025 angkat Labuan sebagai destinasi seni dan pelancongan budaya
Borneo Arts Festival 2025 mengangkat Labuan sebagai pusat seni serantau apabila festival itu bukan sahaja menjadi pentas pementasan budaya, tetapi juga medan pengukuhan ekonomi kreatif, inovasi komuniti dan pembentukan identiti bandar pulau tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, berkata kekuatan festival ini terletak pada keupayaannya menghimpunkan seni, budaya dan inovasi masyarakat Borneo dalam satu ruang yang memberi nilai tambah kepada pelancongan serta citra Labuan.
“Seni dan budaya merupakan bahan penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan berdaya tahan.
“Segmen seperti Laman Etnik menunjukkan bagaimana seni mampu diterjemah kepada peluang ekonomi baharu melalui penglibatan pelbagai komuniti, penggiat kreatif dan usahawan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan penutupan Borneo Arts Festival 2025 di sini, malam tadi.
Fadillah turut menegaskan pendekatan festival ini seiring strategi kerajaan memperkasakan pelancongan budaya dan sektor ekonomi kreatif sebagai pemacu pertumbuhan baharu negara, terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Labuan sebagai pulau warisan, seni dan persona alam Borneo, ketiga-tiganya berpadu menjadi satu jiwa yang mencerminkan semangat Malaysia yang harmoni dalam kepelbagaian.
“Saya percaya festival ini wajar diteruskan sebagai acara tahunan bertaraf antarabangsa yang mampu memposisikan Labuan sebagai platform pertukaran budaya dan pusat kreativiti Borneo,” katanya.-17/11/2025



