TAHUKAH ANDA

KPKT nafi hidang minuman alkohol pada majlis rasmi

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular di media sosial kononnya majlis kementerian itu menghidangkan minuman beralkohol menggunakan gelas berkaki pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Menteri pada 8 November lalu.

Menurut KPKT, minuman “Cucumber Apple Slider” yang disajikan kepada tetamu adalah minuman ringan berkarbonat dan tidak mengandungi sebarang unsur alkohol.

“Penyediaan minuman dalam gelas berkaki pula adalah ketetapan lazim katering biasa bagi majlis berprotokol.

“Penyebaran maklumat tidak tepat itu boleh menjejaskan imej kementerian serta reputasi tetamu yang hadir,” menurut KPKT menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Susulan itu, laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk siasatan lanjut.

Orang ramai dinasihatkan merujuk kepada kementerian sebelum membuat sebarang andaian atau menyebarkan spekulasi tidak berasas.

KPKT menegaskan pihaknya kekal komited memastikan setiap penganjuran majlis mematuhi garis panduan, nilai integriti dan sensitiviti masyarakat.-17/11/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button