
Caj Jalan Genting Highlands bukan tol
Bayaran yang dikenakan di Jalan Genting Highlands bukanlah tol, sebaliknya caj kenderaan bagi laluan persendirian milik pengendali di kawasan peranginan itu, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Beliau menegaskan penggunaan istilah yang tepat penting bagi mengelakkan kekeliruan memandangkan negara ketika ini mempunyai 33 konsesi tol yang beroperasi di lebuh raya sedia ada.
Ahmad berkata, caj berkenaan hanya wajar dikenakan kepada pengunjung yang menggunakan laluan itu untuk tujuan rekreasi, manakala pekerja serta pemilik tanah dan premis di kawasan tersebut tidak seharusnya dikenakan bayaran.
Menurut beliau, kadar caj yang terlalu tinggi juga berisiko menjejaskan jumlah pelancong ke Genting Highlands, sekali gus memberi kesan kepada pengendali.
“Pelancong mungkin memilih lokasi lain yang tidak mengenakan caj atau yang bukan laluan persendirian, dan pada pandangan saya secara peribadi, pekerja tidak perlulah dikenakan caj,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab persoalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN–Tumpat) mengenai kewujudan akta atau undang-undang khusus berkaitan caj laluan persendirian, Ahmad menjelaskan bahawa tanah serta jalan yang dibina di atasnya tertakluk kepada kerajaan negeri.
“Jika ada peraturan tertentu, ia lazimnya melibatkan majlis perbandaran berkaitan. Jadi sama ada wujud peruntukan khusus, perkara itu berada di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya.
Sebelum ini, Genting Malaysia Berhad mengesahkan akan mengenakan bayaran untuk kenderaan yang memasuki Jalan Genting Highlands pada tarikh yang akan diumumkan kelak, dengan butiran lanjut Caj Jalan Persendirian sedang dimuktamadkan.
Dewan Rakyat kemudiannya meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM10,691,724,400 bagi kementerian itu dalam Belanjawan 2026, dengan lebih suara bersetuju.-18/11/2025



