TAHUKAH ANDA

Kepakaran Fadlun perkukuh pelaksanaan pembangunan KL mampan

Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin kepakaran dimiliki Datuk Bandar Kuala Lumpur (KL) baharu, Datuk Fadlun Mak Ujud mampu memperkukuh pelaksanaan pembangunan bandar yang lebih mampan.

Perdana Menteri berkata, pengalaman bekas Presiden Perbadanan Putrajaya itu akan dapat memastikan KL terus melangkah sebagai ibu kota antarabangsa yang berdaya saing, berdaya huni dan selaras dengan nilai-nilai MADANI.

Jelasnya, beliau telah menerima kunjungan hormat daripaa Fadlun bagi membincangkan beberapa agenda penting hari ini.

“Antaranya adalah usaha memperkukuh projek River of Life, menetapkan hala tuju pembangunan bandar yang lebih terancang, kelulusan One Stop Centre (OSC) dipercepatkan serta memperbaiki ekosistem penjaja dan peniaga kecil supaya mereka terus diberi ruang, sokongan dan peluang yang adil dalam ekonomi bandar raya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Anwar turut menyampaikan ucapan selamat maju jaya kepada Fadlun dalam meneruskan legasi mantan Datuk Bandar, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.

Pada Jumaat, Fadlun, 58 dilantik sebagai Datuk Bandar KL setelah menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dibuat berdasarkan peruntukan Subseksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Berpengalaman lebih 28 tahun dalam bidang perancangan bandar, pembangunan wilayah dan pengurusan bandar raya, Fadlun merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sepanjang mengetuai Perbadanan Putrajaya sejak 2022, beliau memainkan peranan penting dalam pelaksanaan Putrajaya Smart City Blueprint 2025 dan inisiatif transformasi hijau serta program kesejahteraan bandar berasaskan kelestarian.-18/11/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button