
LRT3 dijangka mula beroperasi 31 Dis
Satu lagi berita baik untuk penduduk Lembah Klang selepas kerajaan mengumumkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Shah Alam, Selangor dan kawasan sekitarnya dijangka mula beroperasi pada 31 Dis ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata projek itu kini dalam fasa akhir ujian dan pentauliahan untuk menjamin keandalan dan keselamatan pengangkutan berkenaan.
“Kementerian bersama Prasarana Malaysia Berhad dan pihak berkuasa berkaitan sedang memberikan keutamaan penuh kepada aspek keselamatan, kebolehpercayaan operasi dan pematuhan teknikal, sebelum tarikh pembukaan dapat disahkan secara muktamad.
“Hal ini (tarikh pembukaan) sangat tertakluk kepada hasil ujian kita kerana dalam perkhidmatan rel, satu daripada perkara yang sangat penting adalah ujian terakhir yang dilaksanakan termasuk fault-free run (FFR) untuk memastikan apabila dibuka nanti, tidak berlaku apa-apa gangguan teknikal dan sebagainya,” katanya.
Loke berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Isnin.-18/11/2025



