
Pinjam tak bayar… jangan bagi alasan MARA tak tolong Bumiputera
Ketegasan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam isu pembayaran balik pinjaman adalah demi membantu lebih ramai orang Melayu dan Bumiputera yang memerlukan.
Sehubungan itu, pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan supaya, jangan menggunakan alasan MARA tidak menolong Bumiputera dalam isu ini kerana hakikat sebenar adalah sebaliknya.
“Tiada kompromi dengan peminjam-peminjam culas. Tak perlu guna alasan ‘MARA tak tolong Bumiputera’.
“Sebab nak tolong lebih ramai Melayu dan Bumiputera yang amat memerlukanlah, MARA kena lebih tegas kepada yang culas!,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Sebelum ini, Asyraf Wajdi menegaskan tiada individu diberi layanan istimewa atau mendapat keistimewaan tertentu dalam membayar balik pinjaman pendidikan atau perniagaan MARA.
Beliau berkata, semua peminjam dianggap sama dan perlu bertanggungjawab melunaskan hutang masing-masing tanpa mengira status atau latar belakang.
Katanya, tiada lagi campur tangan politik atau surat sokongan mana-mana pihak bagi memberi kelonggaran kepada peminjam tertentu.
“(Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga menegaskan MARA diberi kepercayaan penuh untuk memastikan setiap sen wang rakyat tidak dibazirkan.
“Dalam hal ini, kita tidak melihat siapa mereka. Tiada istilah VIP (orang kenamaan) bayar atau VIP tak bayar. Semua yang tidak membayar hutang, semuanya dianggap ‘VIP,” katanya.-19/11/2025



