
Ethiopia sambut Anwar mesra dan penuh hormat
Ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi di Addis Ababa disambut dengan ‘kejutan’ oleh rakan sejawatnya dari Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali.
Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bole, Dr Abiy memandu sendiri kenderaan yang membawa Anwar ketika memulakan lawatan rasmi ke negara itu.
“Sejurus tiba di Addis Ababa, saya dipandu sendiri oleh Perdana Menteri Dr Abiy Ahmed Ali ke Muzium Sains Ethiopia yang mempamerkan sejarah pembangunan sektor teknologi dan AI yang dipacu kerajaan pimpinan beliau,” katanya menerusi satu hantaran di facebook beliau awal pagi tadi.
Muzium berkenaan merupakan antara simbol kemajuan infrastruktur moden Ethiopia.
“Alhamdulillah, saya dan delegasi teruja dengan mercu pembangunan yang dicapai Ethiopia, lantas menjadi antara negara yang pesat membangun di Tanduk Afrika.” Katanya lagi.
Anwar turut dibawa melihat “Friendship Park”, sebuah taman yang menjadi tumpuan warga Ethiopia serta pelancong yang ingin menikmati kehijauan dan landskap indah.
Taman ini turut menempatkan zoo dan arkib sejarah kenegaraan Ethiopia, selain menjadi pusat riadah dan rekreasi.

Anwar, kemesraan yang ditonjolkan sangat dihargai tatkala kedua-dua pemimpin berusaha untuk merapat serta meluaskan peluang serta potensi kedua-dua negara.
Anwar turut diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, para pegawai kanan kerajaan serta delegasi perniagaan.
Lawatan tiga hari Anwar ke negara yang mendapat julukan Tanduk Afrika itu adalah yang pertama bagi Perdana Menteri Malaysia dan juga lawatan balas susulan kunjungan rasmi Abiy ke negara ini pada Oktober tahun lepas.
Lawatan itu meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara yang telah terjalin sejak Januari 1965.
Ia juga bersempena dengan pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa pada 23 Sept 2025, selepas ditutup selama 42 tahun sekali gus memperkukuh hasrat Malaysia untuk terus mengeratkan hubungan dua hala.-19/11/2025




