
Reformasi Perkhidmatan Awam perubahan berskala nasional
Reformasi Perkhidmatan Awam yang sedang dilaksanakan adalah perubahan berskala nasional, merangkumi pembaharuan nilai, budaya kerja dan kecekapan pentadbiran di seluruh kementerian, jabatan serta agensi negeri.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, usaha reformasi ini digerakkan melalui beberapa platform utama termasuk Simposium Reformasi Perkhidmatan Awam, Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN dan Program 2 Tahun MADANI, dengan pelbagai agenda disusun untuk memacu kejayaan transformasi terbabit.
Menurutnya, antara agenda berkenaan ialah Pemacuan Digital dan Automasi Perkhidmatan Awam, pengukuhan nilai M.A.L.A.Y.S.I.A sebagai DNA Penjawat Awam, penyelarasan reformasi dengan Kerangka Ekonomi MADANI serta pengukuhan sinergi antara peringkat persekutuan dan negeri.
“Jawatan dalam perkhidmatan awam adalah taklif, yakni amanah yang menuntut kebijaksanaan dan integriti, bukan sekadar tasyrif atau penghormatan.
“Penjawat awam harus bekerja kerana keberkatan dan kecintaan kepada negara, bukan kerana pangkat,” katanya ketika berucap pada Program Amanat KSN Bersama Penjawat Awam Kedah di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, di sini kelmarin.
Terdahulu Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali dalam ucapannya menegaskan bahawa penjawat awam perlu terus memperkukuh tadbir urus, integriti serta kecekapan penyampaian bagi memenuhi harapan rakyat dan tuntutan pentadbiran negeri.
Sebagai rakan strategik dalam merealisasikan agenda reformasi, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong turut menyatakan komitmen teguh untuk memartabatkan integriti sebagai asas utama tadbir urus negeri.
Pembabitan SPRM Kedah dalam program berprestij ini juga mencerminkan peranan strategik agensi tersebut dalam menyokong reformasi, meningkatkan integriti negeri dan memastikan tadbir urus telus, berkesan serta diyakini rakyat.-19/11/2025



