
KEMASKINI : Keputusan kes addendum tahanan rumah Najib…asalnya 5 Januari… ia telah diawalkan ke 22 Disember ini
Keputusan berkaitan addendum samaada Datuk Seri Najib Razak boleh menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah telah diawalkan dari 5 Januari ke 22 Disember.
Ia diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa yang menetapkan tarikh baru itu selepas sesi pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Alice Loke Yee Ching.
.
Perkara itu disahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan kepada pihak media selepas prosiding.
Semalam, Mahkamah Tinggi menetapkan 5 Januari tahun depan bagi memutuskan sama ada titah adendum boleh dikuatkuasakan terhadap Najib bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.
Permohonan untuk menyegerakan keputusan dikemukakan oleh Najib melalui Tetuan Shafee & Co. menerusi surat yang dimajukan kepada Timbalan Pendaftar, Syeela Marlina Uttaman.
Pasukan peguam memohon mahkamah mempertimbang semula tarikh keputusan yang telah ditetapkan pada 5 Januari tahun depan, diawalkan tertakluk kepada kesediaan dan budi bicara hakim.
“Anak guam kami yang berusia 72 tahun telah berada dalam tahanan penjara selama hampir dua tahun sejak titah adendum dikeluarkan pada 29 Januari 2024.
“Tempoh ini jauh lebih lama daripada yang sepatutnya, walhal beliau sepatutnya telah menjalani tempoh tahanan rumah bermula tarikh berkenaan.
Namun, anak guam kami terus ditahan di penjara hingga hari ini semata-mata kerana prosiding mahkamah yang masih berterusan.
Setiap hari tambahan yang dihabiskan dalam tahanan adalah kebebasan yang tidak dapat dikembalikan kepadanya.
“Jika perintah Mahkamah Persekutuan pada 13 Ogos lalu dipatuhi dengan ketat perkara dalam prosiding semakan kehakiman sepatutnya berakhir pada 14 September lalu,” ujarnya.
Surat itu turut menyatakan, penafian terhadap kebebasan bekas Perdana Menteri melanggar Perkara 5 Persekutuan Perlembagaan yang melindungi bukan sahaja kebebasan fizikal tetapi juga maruah dan keselamatan daripada individu tersebut.
Ujar surat tersebut, penahanan berpanjangan telah menyebabkan kesusahan, trauma dan kemerosotan ketara kepada emosi dan kesejahteraan Najib secara keseluruhannya.- 25/11/2025
berita sebelum ini :
Titah addendum tahanan rumah Najib….hari penentuan 5 Januari ini
Isu addendum tahanan rumah yang dikatakan dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah kembali mencuri perhatian ramai pada Isnin.
Ini ekoran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan pada 8 pagi 5 Januari 2026 untuk menyampaikan keputusan sama ada beliau boleh atau tidak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Hakim Loke Yee Ching menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada pasukan peguam Najib diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili pihak kerajaan.
Najib telah memfailkan semakan kehakiman pada 3 April tahun lalu, mendakwa bahawa Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah mengeluarkan satu titah adendum pada 29 Jan 2024, yang menurutnya membenarkan baki hukumannya dijalani di rumah.
Dalam semakan kehakiman, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Pesuruhjaya Negara Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Melalui permohonan itu, Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menyerahkan versi asal dokumen addendum tersebut, selain kos dan apa-apa relif lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.
Beliau juga memohon perintah supaya responden bukan sahaja mengesahkan kewujudan addendum itu, tetapi turut “segera memindahkan pemohon dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur bagi membolehkannya menjalani hukuman di bawah tahanan rumah”.
Najib mendakwa, titah addendum itu tidak diumumkan oleh Lembaga Pengampunan, dan kerajaan dianggap menghina mahkamah kerana tidak melaksanakannya.
Bekas Presiden UMNO dan bekas Pengerusi BN itu kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi. Sabitan dan hukuman itu kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, yang menolak rayuannya.
Najib kemudiannya memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022. Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan tempoh penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.- 24/11/2025



