
Setiausaha Politik Kanan PM…Shamsul Iskandar letak jawatan
Satu perkembangan yang agak mengejutkan timbul petang Selasa bila Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri.
Menerusi laman media sosialnya beliau kata keputusan tersebut dibuat selepas menyedari terdapat percubaan untuk menyerangnya dan ia boleh merosakkan imej Kerajaan Madani.
“Saya difahamkan ada percubaan untuk menyerang saya dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani.
“Justeru, saya mengambil keputusan untuk mempertahankan diri saya daripada serangan ini.
“Saya juga pagi tadi telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Terima kasih Perdana Menteri di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya,” katanya.
Pada minggu lalu timbul isu yang didakwa sebagai ‘surat sokongan’ yang dikeluarkan oleh Shamsul Iskandar pada tahun lalu untuk enam kontraktor berkaitan projek sebuah hospital.
Mengulas hal berkenaan Anwar menjelaskan beliau sudah beri teguran pada Setiausaha Politiknya itu.
Perdana Menteri juga kata bahawa surat sokongan itu bukan suatu arahan.
Sementara itu setakat berita ini ditulis,Perdana Menteri yang pulang dari lawatan ke tiga negara Afrika pagi Selasa – Etophia,Afrika Selatan dan Kenya belum lagi buat sebarang kenyataan mengenai perletakan jawatan Shamsul Iskandar.
Shamsul Iskandar yang berasal dari Melaka dan aktivis PKR sejak penubuhan parti itu menjadi Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri semasa Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri selepas pilihanraya umum ke 15 pada November 2022.
Dalam pilihanraya itu beliau tewas tipis kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Zahid Hamidi di kerusi parlimen Bagan Datuh.
Sebelum itu pada pilihanraya umum 2013 beliau menewaskan orang kuat UMNO,Datuk Seri Ali Rustam bagi kerusi parlimen Bukit Katil di Melaka yang kemudian ditukar nama jadi Hang Tuah Jaya.
Sewaktu pilihanraya umum ke 14 pada Mei 2018 beliau berjaya pertahan kerusi parlimen Hang uah Jaya dan selepas itu dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Utama. -25/11/2025
BERITA SEBELUM INI :
Anwar jawab isu surat sokongan pada kontraktor yang dikeluarkan Setiausaha Politiknya….
Suasana ini agak lain dari yang lain.Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah adakan sidang akhbar untuk para wartawan Malaysia 40,000 kaki di udara ketika dalam penerbangan dari Addis Ababa,Ethopia menuju ke Johanesburg di Afrika Selatan.
Dalam pertemuan sekitar 15 minit di bahagian galley yakni tempat pramugari sediakan makanan dalam pesawat sewa khas Malaysia Airlines itu beliau antara lain jawab soalan mengenai isu Setiausaha Politiknya Datuk Shamsul Md Akin keluarkan surat sokongan untuk enam kontraktor dalam pembinaan sebuah hospital tahun lalu.
Pada Selasa lalu, Anwar memaklumkan Dewan Rakyat bahawa beliau sudah tegur Setiausaha Politiknya itu berhubung isu berkenaan, dan peraturan kerajaan melarang pengeluaran surat sokongan sebegitu.

Anwar berkata beliau hanya boleh menulis ‘sila teliti’ walaupun bagi surat yang ditujukan kepadanya, dan kontrak boleh disemak tetapi tidak boleh diberi sokongan automatik.
Namun, bekas Menteri Ekonomi dan Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli berkata jawapan Anwar kurang `umph’, memandangkan surat berkenaan didedahkan tahun lalu dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad juga sudah mengesahkan keasliannya.
Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, perkara seperti ini bukan kali pertama dan Shamsul Iskandar harus dipecat. Malah, menurutnya, satu laporan harus difailkan dengan SPRM supaya siasatan menyeluruh dapat dijalankan.
Diminta wartawan mengulas desakan supaya SPRM mengadakan siasatan lanjut, Anwar menjelaskan bahawa surat sokongan itu bukan suatu arahan.
“Surat itu bukan arahan. Kamu dengar orang bercakap tentang rasuah ada satu dua kes, tetapi mereka langsung berdiam diri tentang berbilion ringgit yang dicuri apabila ia melibatkan rakan atau penyumbang mereka.
“Kalau mahu tegas melawan rasuah, bertindaklah terhadap rasuah. Bagi saya, itu lebih serius. Kita biarkan berbilion ringgit diseleweng tetapi tumpu kepada perkara kecil,” katanya sambil menambah bahawa walaupun kes kecil tidak harus dibiarkan.
Malah, katanya ia tidak wajar mengatasi perhatian terhadap kes besar yang melibatkan individu berprofil tinggi.
“Bagi saya, ini lebih serius. Saya tidak ada simpati kepada mereka yang melarikan berbilion.
“Kamu pejam mata pada semua kes besar ini tetapi memperbesarkan isu kecil… betul, ia memang tidak boleh dibiarkan, tetapi ia tidak patut disamakan dengan kes berbilion yang dicuri,” katanya.
Ditanya sama ada amaran keras memadai, atu tidak Perdana Menteri berkata beliau mempunyai kuasa untuk memutuskan tindakan tatatertib dalaman.
“Saya ada kuasa. Saya tidak perlu diarah oleh sesiapa, terutama mereka yang tidak konsisten dan tidak menonjolkan kes rasuah besar melibatkan VVIP.
“Kejar ikan bilis mungkin buat kita popular, tetapi tidak memberi impak yang diharapkan,” katanya. lagi. – 21/11/2025



