TAHUKAH ANDA

16,000 dipindahkan akibat banjir… PM arah semua aset bantu mangsa

Jumlah mangsa banjir di tujuh negeri terus meningkat kepada 16,201 orang yang membabitkan 5,504 keluarga setakat 8 malam Isnin.

Mereka ditempatkan di 90 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan, Terengganu, Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, Kelantan merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 9,830 orang daripada 3,593 keluarga dengan 40 PPS dibuka di empat daerah.

Ia diikuti Perak seramai 1,876 orang daripada 583 keluarga yang ditempatkan di 19 PPS.

“Perlis pula merekodkan 1,718 mangsa banjir membabitkan 514 keluarga ditempatkan di 19 PPS, manakala Selangor mempunyai 1,168 mangsa (315 keluarga) di 10 PPS.

“Di Kedah, seramai 1,088 mangsa banjir (340 keluarga) ditempatkan di tujuh PPS, sementara di Pulau Pinang terdapat 385 orang (103 keluarga) di empat PPS,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, Terengganu pula merekodkan 136 mangsa banjir membabitkan 56 keluarga ditempatkan di satu PPS.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keprihatinannya terhadap situasi banjir yang semakin memburuk meskipun beliau berada di Kenya bagi lawatan rasmi.

Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar berkata, lebih 15,000 mangsa di tujuh negeri kini terjejas dan beliau menerima laporan berkala mengenai keadaan semasa serta gerak kerja bantuan.

Menurutnya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama semua aset agensi berkaitan telah digerakkan sepenuhnya ke kawasan terjejas bagi menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap serta memastikan bantuan segera sampai kepada mereka.
recommended by

“Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) juga telah dikerah ke Kelantan yang paling teruk terkesan serta bersedia ke negeri-negeri lain bagi mempercepatkan operasi menyelamat dan bantuan kecemasan di lapangan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan turut menggerakkan Skuad Ihsan Madani ke semua kawasan terlibat untuk membantu menguruskan kebajikan mangsa di hampir 100 pusat pemindahan sementara yang telah dibuka di tujuh negeri.

Anwar turut menyeru penduduk di kawasan berisiko untuk kekal berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, terutama apabila diarahkan berpindah.

“Dalam tempoh yang sukar dan mencabar ini, saya mendoakan agar semua mangsa banjir dikurniakan kekuatan, ketabahan serta dilindungi daripada sebarang kemudaratan.-25/11/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button