KEMBARA

Tiada pelancong Malaysia terlibat dalam letupan gunung berapi di Indonesia

Tidak dinafikan gunung berapi yang tiba-tiba meletup di Indonesia baru-baru ini, Gunung Semeru merupakan destginasi pilihan rakyat Malaysia terutama yang minat ‘hiking’.

Bagaimanapun Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengesahkan bahawa tiada warganegara Malaysia dilaporkan terjejas susulan letusan tersebut yang berlaku pada Rabu lepas di wilayah Lumajang, Jawa Timur.

Menurut kenyataan Kedutaan Malaysia, pihaknya terus memantau rapat perkembangan situasi bersama agensi berkuasa Indonesia bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di kawasan berkenaan.

“Pihak Kedutaan Malaysia terus memantau rapat selepas letusan gunung itu berlaku dan memastikan keadaan rakyat Malaysia di sekitar wilayah gunung berapi tersebut,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Kedutaan Malaysia menasihatkan warganegara Malaysia yang merancang perjalanan ke Jawa Timur, termasuk bandar-bandar utama atau kawasan berhampiran Gunung Semeru untuk sentiasa memantau perkembangan terkini dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

Kedutaan Malaysia turut menegaskan bahawa pihaknya bersedia memberikan bantuan konsular sekiranya diperlukan.

Sebelumnya, letusan yang memuntahkan abu panas setinggi 5.5 kilometer ke udara itu turut menyebabkan kerajaan tempatan mengisytiharkan status darurat selama tujuh hari bermula 19 hingga 26 November 2025.

Badan Geologi Indonesia mengekalkan status amaran Tahap IV (Awas) dan menjangkakan potensi aktiviti susulan, sekali gus memaksa seramai 528 penduduk dipindahkan.-25/11/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button