
NADMA, MCMC bangun sistem Amaran Banjir guna teknologi CBS
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini berusaha membangunkan sistem amaran awal banjir menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pelaksanaan inisiatif berkenaan adalah untuk menggantikan sistem amaran sedia ada menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS).
“Sistem amaran awal CBS adalah sistem lebih berkesan dalam penyebaran amaran bencana kepada masyarakat, yang berfungsi dengan lebih cepat dan tepat.
“Dengan sistem ini, pihak NADMA akan dapat meningkatkan keberkesanan dalam menyalurkan amaran awal kepada masyarakat yang menghadapi bencana.
“Sistem amaran awal yang lebih cekap, tepat dan pantas juga boleh membantu mengurangkan kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda, terutama semasa Monsun Timur Laut (MTL),” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, semalam.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Tuan Hassan Saad (PN-Baling) mengenai sejauh mana keberkesanan kerjasama NADMA dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kerajaan Negeri selain agensi keselamatan dalam melaksanakan sistem amaran awal banjir secara menyeluruh.
Tambah Ahmad Zahid, kerajaan sentiasa memantau keberkesanan sistem amaran awal supaya ia dapat ditambah baik dari semasa ke semasa.
Susulan itu, kerajaan melalui NADMA, METMalaysia dan JPS turut bekerjasama dengan Met Office United Kingdom dalam program penyelidikan iaitu Weather and Climate Science for Service Partnership (WCSSP).
“Program penyelidikan ini bertujuan meningkatkan keupayaan ramalan cuaca dan iklim, khususnya berkaitan fenomena berkesan tinggi.
“Antara tumpuan utama program ini ialah penambahbaikan model ramalan, pembangunan produk ramalan mesra pengguna dan pelaksanaan ramalan berasaskan kesan (impact-based forecasting), termasuk penggunaan sistem kod warna bagi amaran banjir di kawasan berisiko.
“Melalui kerjasama ini, ketepatan ramalan cuaca dan iklim negara dapat ditingkatkan, kesiapsiagaan agensi pelaksana diperkukuh dan penyampaian maklumat amaran awal kepada rakyat menjadi lebih berkesan,” jelasnya.
Bagaimanapun, katanya kerajaan akan terus menambah baik keberkesanan sistem itu, khususnya menerusi aspek pembangunan kapasiti, integrasi teknologi baharu seperti data raya dan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta perluasan capaian maklumat kepada penduduk luar bandar.-26/11/2025



