TAHUKAH ANDA

‘Kami tak ada dana RM8 juta biayai kempen media sosial’

Pakatan Harapan (PH) menafikan membiaya kempen media sosial bagi memburukkan parti Warisan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, PH tidak mempunyai dana RM8 juta seperti didakwa Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Saya tak tahu apa dia cakap. Bagi PH, kami tak ada dana seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Media PRN Sabah pada Selasa.

Sebelum ini, Mohd Shafie mendakwa, seteru politiknya menggunakan RM8 juta dana awam untuk membiayai kempen media sosial yang bertujuan memburukkan partinya, melalui mesej berunsur perkauman.

Baca artikel lain: Mangsa berdaftar di PPS dapat RM1,000 sebaik pulang ke rumah – KP NADMA

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna memberi amaran bahawa taktik sedemikian akan mengalihkan perhatian daripada keperluan pembangunan sebenar Sabah.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, sebanyak tiga kes dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sepanjang perjalanan PRN Sabah.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi itu berkata, beliau tidak diberi perincian oleh MCMC mengenai tiga kes yang dilaporkan itu.

“Setakat ini terdapat tiga kes yang telah dimaklumkan. Saya tidak diberi perincian kes-kes tersebut tapi dua telah dibawa kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertimbangan langkah seterusnya, manakala satu lagi kes masih dalam siasatan.

“Ketiga-tiga kes ini ada kaitan tentang sebaran sepanjang tempoh pilihan raya.

“Tetapi saya tidak boleh memaklumkan isi kandungan atau perincian kes-kes ini kerana masih dalam siasatan. Satu dalam siasatan, dua dalam pertimbangan Timbalan Pendakwa Raya,” katanya lagi.-26/11/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button