YANG VIRAL

Mangsa banjir pagi ini hampir 25,000… lapan negeri terjejas

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara meningkat kepada 24,907 orang membabitkan 8,308 keluarga, dengan 142 PPS beroperasi di 26 daerah.

Menurut laporan situasi terkini jam 6 pagi yang dikeluarkan oleh Pusat Pengurusan Bencana Negara hari ini, lapan negeri kini terjejas — Kelantan, Perlis, Perak, Selangor, Kedah, Terengganu, Pulau Pinang dan Pahang — dengan trend keseluruhan menunjukkan peningkatan berterusan jumlah mangsa, khususnya di kawasan utara dan Pantai Timur.

Kelantan kekal negeri paling teruk terjejas dengan 9,525 mangsa dan 40 PPS beroperasi di Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.

Tumpat merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 4,913 orang, walaupun dilaporkan trend menurun di kawasan itu. Namun Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh mencatatkan peningkatan jumlah mangsa.

Perlis mencatat 5,968 mangsa, semuanya ditempatkan di 18 PPS negeri itu, dengan jumlah terus meningkat. Beberapa jalan di Kangar, Padang Besar, Mata Ayer dan kawasan lain kekal ditutup sepenuhnya atau sebahagiannya akibat banjir atau tanah runtuh.

Di Perak, 4,184 mangsa ditempatkan di 42 PPS, dengan trend meningkat di Manjung, Hilir Perak, Bagan Datuk dan beberapa daerah lain.

Manjung sahaja merekodkan 1,705 mangsa, dengan beberapa jalan ditutup akibat tanah runtuh dan banjir kilat.

Selangor merekodkan 2,964 mangsa di 21 PPS, terutamanya di Kuala Selangor, Klang, Petaling dan Sabak Bernam. Walaupun trend keseluruhan stabil, beberapa laluan termasuk sebahagian Jalan Robinson, Jalan Harmoni dan Persiaran Puncak Alam ditutup sementara akibat banjir.

Kedah mencatat 2,043 mangsa, kebanyakannya di Kubang Pasu dengan semua 12 PPS aktif.

Terengganu merekodkan 131 mangsa, majoritinya di Besut dan Marang, dengan trend meningkat di Besut.

Di Pulau Pinang, Seberang Perai Tengah merekodkan 50 mangsa, manakala Pahang mencatat 42 mangsa di Raub dan Lipis.-26/11/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button