
KL tersenarai dalam 50 bandar terbaik dunia
Kuala Lumpur disenaraikan di kedudukan ke-50 Bandar Terbaik Dunia 2026, dalam laporan baharu oleh Resonance Consultancy, yang menonjolkan kekuatan ekonomi dan kemunculan mercu tanda serta pengembangan hab perniagaan.
Laporan itu menampilkan 270 bandar di seluruh dunia yang dinilai menerusi 34 indikator utama.
Kedudukan ke-50 itu didorong pencapaiannya dalam Top 5 Labour Force Participation, pengembangan hab perniagaan seperti Tun Razak Exchange (TRX) serta pembangunan mercu tanda baharu termasuk Menara Merdeka 118 dan hotel mewah, yang meningkatkan infrastruktur dan daya tarikan global.
Bagi Kuala Lumpur, selain kedudukan kukuh dalam Penyertaan Tenaga Buruh dan Taraf Hidup, kedudukannya di tempat ke-50 mencerminkan pemodenan kawasan Bukit Bintang City Centre di sekitar LaLaport dan dewan konsert Zepp, serta “program River of Life’ yang bernilai berbilion dolar, bertujuan memulihkan sungai Gombak dan Klang.
Sementara London kekal di puncak untuk tahun ke-11 berturut-turut, meraih tempat pertama dalam aspek kemakmuran, keterpesonaan dan keselesaan hidup.
London juga mendahului dalam bilangan lapangan terbang dan syarikat besar, dengan laporan itu menyoroti perubahan landskap bandar London, pencakar langit baharu, serta kemampuan berterusan untuk menarik pelancong, pelajar dan usahawan.
New York, iaitu ‘kota yang tidak pernah tidur’ dan menjadi jantung Amerika berada di tangga kedua. Kota itu unggul di Google Trends dan menunjukkan prestasi kukuh dalam pelaburan korporat.
Paris, yang memukau ramai dengan muzium dan pengaruh seni budayanya berada di tempat ketiga dan Tokyo, berada di tempat keempat.
Madrid naik ke tangga kelima, mengatasi Singapura yang berada di kedudukan keenam. Madrid berada di kedudukan berkenaan hasil ‘kehidupan malamnya’, inisiatif hijau serta pemulihan bandar.
Ditangga ke tujuh adalah Rome manakala Dubai, kembali memasuki senarai 10 teratas dengan kedudukan kelapan, manakala Berlin kesembilan dan Barcelona di kedudukan 10.
Sementara Sydney terkeluar dari kelompok 10 teratas.-27/11/2025



