YANG VIRAL

Ribut Tropika Senyar mula lemah… tapi hujan berterusan

Kekuatan Ribut Tropika Senyar dilaporkan semakin lemah selepas ia mendarat di pantai barat Semenanjung Malaysia awal pagi tadi, namun hujan berterusan masih dijangka berlaku.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, sisa-sisa ribut yang telah melemah itu bergerak melintasi kawasan menuju Pahang.

“Senyar mendarat sekitar jam 1 pagi di antara Banting dan Port Dickson sebelum mula lenyap ketika melintasi kawasan daratan,” katanya.

“Walaupun ia telah melemah, peredaran sisa sistem berkenaan masih berpotensi membawa hujan secara berselang-seli,” katanya.

Beliau menambah bahawa MetMalaysia akan terus memantau pergerakan sistem tekanan rendah itu dan akan mengeluarkan maklumat terkini sekiranya terdapat perkembangan lanjut.

Mengulas lanjut, Mohd Hisham berkata, METMalaysia akan terus memantau keadaan itu dan akan mengemaskini maklumat serta amaran cuaca sekiranya terdapat perubahan signifikan.

“Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia dengan sentiasa peka kepada maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh METMalaysia melalui laman web www.met.gov.my; aplikasi myCuaca; media sosial rasmi dan talian hotline 1-300-22-1638,” katanya.

Malam tadi, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan di beberapa negeri, berkuat kuasa hingga esok.

Menurut kenyataan itu, hujan kategori bahaya (hujan sangat lebat berterusan) merangkumi Terengganu (Kemaman), Pahang (Maran, Kuantan, Pekan), Selangor (Klang, Kuala Langat, Sepang), Putrajaya dan Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson).

Sementara itu, kawasan di bawah kategori buruk (hujan lebat) termasuk sebahagian Perak (Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim), Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun), Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Bera dan Rompin), Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat), Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor (Tangkak, Segamat dan Muar).

Hujan berterusan turut dijangka berlaku di Kedah (Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut Matang dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar), Kelantan serta Johor (Batu Pahat, Kluang dan Mersing).

Senyar ialah ribut tropika ketiga yang melanda Malaysia dan yang pertama terbentuk secara langsung di Selat Melaka.

Kejadian seumpamanya yang terakhir ialah Ribut Tropika Vamei yang melanda selatan Semenanjung Malaysia pada 26 Disember 2001, dan Ribut Tropika Greg yang menimpa Sabah pada 26 Disember 1996.-28/11/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button