TAHUKAH ANDA

Proton lancar Saga serba baharu, harga serendah RM38,990

Proton Holdings Bhd (Proton) secara rasmi melancarkan Proton Saga serba baharu, menampilkan pelbagai penambahbaikan dari segi reka bentuk, teknologi, dan prestasi.

Model terbabit ditawarkan dalam tiga varian, iaitu standard, executive, dan premium dengan harga bermula RM38,990 sehingga RM49,990.

Bagaimanapun, bagi tempoh rebat pelancaran sehingga 31 Disember 2025, harga setiap varian dikurangkan masing-masing kepada RM37,990, RM43,990, dan RM48,990.

Sejak proses tempahan dibuka pada 10 November lalu, Proton Saga serba baharu telah menerima 20,000 tempahan dalam tempoh hanya 17 hari.

Model ini hadir dengan lima pilihan warna menarik iaitu ruby red, snow white, marine blue, space grey, dan armour silver.

Sementara itu, Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Proton Holdings Bhd terus menunjukkan komitmen tinggi terhadap rantaian bekalan tempatan.

Tahun ini sahaja, syarikat itu telah memperoleh bahagian dan komponen bernilai RM3.2 bilion daripada pembekal tempatan.

Beliau berkata, penggandaan jumlah pengeluaran industri proton (TIV) serta peningkatan sumber tempatan bukan sahaja memberi manfaat kepada pembekal Malaysia, malah memastikan limpahan nilai ekonomi terus kekal dalam negara.

“Selain menghasilkan kereta, Proton terus memperkukuh tulang belakang industri automotif, daripada platform kenderaan elektrik (EV) dan ujian rangkaian kuasa hingga penempatan komponen utama, meningkatkan daya saing negara.”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Saga Serba Baharu “Four Esteemed Decades, A Future Without Limits” di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Khamis.

Pada masa sama, beliau memberitahu, pelaburan dalam kenderaan elektrik (EV) dan usaha lokalisasi Proton adalah sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), yang berperanan bukan hanya sebagai strategi korporat, tetapi juga pemangkin utama transformasi Malaysia ke arah negara berteknologi tinggi.

“Dasar di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), seperti Dasar Automotif Negara (NAP) dan NIMP 2030, telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh penggiat industri tempatan, termasuk Proton.”

“Komitmen ini juga mendorong pelaburan yang menjana peluang pekerjaan dan nilai ekonomi negara,” tambah Zafrul.

Untuk rekod, Proton Saga serba baharu dibina menggunakan platform baharu Advanced Modular Architecture (AMA) yang menawarkan struktur lebih fleksibel dan berskala, selaras dengan piawaian keselamatan, prestasi, dan emisi antarabangsa.

Dengan pemilikan penuh hak harta intelek (IPR), platform ini bukan sahaja mengukuhkan keupayaan kejuruteraan Proton tetapi juga membuka peluang kerjasama masa depan dalam ekosistem Geely, berpotensi menjadikan Malaysia sebagai hab pembangunan automotif serantau.-28/11/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button