
SPRM tahan Albert Tei dalam serbuan ke rumahnya…
Albert Tei,ahli perniagaan yang dikenali sebagai orang yang sebar video yang dirakam secara sulit dakwaan skandal lesen cari gali mineral melibatkan sebilangan ahli politik Sabah ditahan SPRM pagi Jumaat.
Dia yang terbaru buat dakwaan terhadap bekas Setiausaha Politi Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin ditahan dalam serbuan ke rumahnya di Puchong,Selangor oleh beberapa orang pegawai SPRM yang memakai jaket kalis peluru dan penutup muka balaclava.
Senario sewaktu dia ditahan dirakam oleh peguamnya Zaid Malek.
Seorang lagi peguam yang mewakili Tei, Mahajoth Singh, dalam satu kenyataan berkata pegawai SPRM menggunakan waran untuk serbuan itu.
Dia mempersoalkan tindakan ini kerana Albert Tei dijadual beri keterangan pasal dakwaan terhadap Shamsul Iskandar di ibupejabat SPRM Isnin ini.
Semalam wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong (yang dikatakan proksi Shamsul Iskandar) sudah datang beri keterangan mulai jam 2 petang.
Video Sofia Rini dirakam berbual dengan Albert Tei disebar di media sosial kelmarin.
Namun dia telah menafikan menjadi proksi kepada Shamsul Iskandar dan dakwaan lain terhadapnya.
Shamsul Iskandar yang letak jawatan pada 25 November dalam usaha pertahan diri terhadap dakwaan Albert Tei dijadual beri keterangan pada SPRM hari ini (Jumaat).
Media sebelum ini melaporkan dakwaan Albert Tei kononnya beliau menyerahkan RM629,000 kepada Shamsul Iskandar selepas diyakinkan wang yang disalur kepada beberapa ahli politik di Sabah untuk bantunya dapat lesen cari gali mineral di negeri itu ,dapat diperoleh semula.
Turut didedahkan ialah tangkap layar perbualan WhatsApp dan beberapa gambar yang dikatakan menjadi bukti menyokong dakwaan berkenaan. – 28/11/2025



