Malaysia teroka potensi tenaga nuklear untuk jana sumber tenaga jangka panjang negara
Dalam menghadapi situasi keperluan tenaga yang semakin mendesak bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital, pusat data dan peralihan industri hijau, Malaysia kini berada di persimpangan penting dalam menentukan hala tuju masa depan sumber tenaganya.
Melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof dilihat mengambil pendekatan strategik yang lebih seimbang apabila membuka ruang kepada penerokaan potensi tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang negara, sambil mengekalkan komitmen terhadap tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidro dan biojisim (biomass).
Fadillah membawa naratif ini dengan pendekatan berhati-hati tetapi berpandangan jauh, meletakkan nuklear sebagai pilihan strategik jangka panjang, bukan keputusan yang terburu-buru.
Penegasan bahawa sebarang keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas 2030 memperlihatkan kesungguhan kerajaan menilai setiap dimensi dengan penuh tanggungjawab.

Namun hakikatnya, tenaga nuklear bukan sekadar persoalan teknologi. Ia menyentuh emosi kolektif, memori peristiwa global serta rasa tanggungjawab moral terhadap generasi masa hadapan.
Bertentangan dengan persepsi sesetengah pihak, tenaga nuklear bukan sesuatu yang asing di Malaysia. Negara ini memiliki pengalaman lebih 40 tahun dalam penggunaan teknologi nuklear secara terkawal menerusi Agensi Nuklear Malaysia yang ditubuhkan pada 1972, sebelum ini dikenali sebagai PUSPATI.
Malaysia juga mempunyai reaktor penyelidikan TRIGA PUSPATI Reactor (RTP) yang digunakan untuk tujuan penyelidikan, latihan dan aplikasi perubatan serta industri, bukan penjanaan tenaga elektrik. Reaktor ini digunakan bagi penghasilan radioisotop untuk rawatan kanser, ujian bahan serta penyelidikan saintifik berimpak tinggi.
Pada 2011, kerajaan menubuhkan Malaysia Nuclear Power Corporation (MNPC) sebagai organisasi khusus untuk mengkaji kebolehlaksanaan pembinaan loji janakuasa nuklear. Fungsi ini kini diwujudkan semula dalam struktur strategik PETRA melalui organisasinya, Malaysia Programme Office for Power Electricity Reform (MyPOWER) Corporation sebagai organisasi pelaksana program tenaga nuklear (NEPIO).
Pada masa ini, Malaysia sedang dalam proses untuk menjadi negara ahli (State Party) kepada beberapa konvensyen antarabangsa berkaitan keselamatan nuklear di bawah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), termasuk Convention on Nuclear Safety dan Joint Convention on the Safety of Spent Fuel Management and on the Safety of Radioactive Waste Management. Langkah ini mencerminkan komitmen negara terhadap pematuhan obligasi serta amalan terbaik antarabangsa.

Kajian oleh Ghazali, Farahdilah, et al. (2020) bertajuk ‘Perspektif Perundangan terhadap Tenaga Nuklear dan Pembangunan Lestari di Malaysia’ menegaskan bahawa walaupun inisiatif tenaga nuklear telah diperkenalkan, pelaksanaan peraturan tempatan masih perlu diselaraskan dengan dasar serta rangka perundangan di peringkat serantau.
Kajian tersebut menjelaskan bahawa pembangunan tenaga nuklear tidak bermaksud sumber tenaga konvensional harus ditinggalkan sepenuhnya. Bahan api fosil masih diperlukan bagi memenuhi keperluan tenaga semasa Malaysia, khususnya dalam fasa peralihan yang kompleks dan penuh cabaran.
Pada masa yang sama, teknologi nuklear wajar dibangunkan secara berperingkat kerana memerlukan tempoh masa panjang untuk matang dari segi keselamatan, kesiapsiagaan teknikal dan penerimaan pasaran. Pasaran tenaga Malaysia juga memerlukan tempoh penyesuaian sebelum mampu mengadaptasi sepenuhnya sumber alternatif berskala besar seperti nuklear.
Dapatan ini memperlihatkan bahawa peralihan tenaga bukan tindakan drastik, sebaliknya satu perjalanan berperingkat yang menuntut keseimbangan antara keperluan semasa dan visi jangka panjang.
Jika menoleh ke luar, manfaat tenaga nuklear telah terbukti di beberapa negara.
Di Perancis, lebih 70 peratus bekalan elektrik negara dijana daripada nuklear, menjadikannya antara negara dengan pelepasan karbon terendah di Eropah. Kebergantungan ini bukan sahaja memperkukuh jaminan tenaga, malah menurunkan kos elektrik jangka panjang.

Korea Selatan pula menggunakan tenaga nuklear sebagai tunjang kestabilan grid nasional, menyokong pertumbuhan industri berteknologi tinggi, pusat data dan sektor semikonduktor yang menuntut bekalan tenaga konsisten 24 jam.
Di rantau Asia Barat, Emiriah Arab Bersatu (UAE) melalui Loji Nuklear Barakah telah berjaya mengurangkan pelepasan karbon dan menjimatkan berjuta-juta tan pelepasan karbon setiap tahun, sekaligus mempelbagaikan sumber tenaga negara yang sebelum ini bergantung kepada minyak.
Pengalaman negara-negara ini membuktikan bahawa tenaga nuklear mampu menjadi pemangkin kestabilan tenaga dan pertumbuhan ekonomi jika dibangunkan dengan tadbir urus kukuh dan keselamatan menyeluruh.
Komunikasi dua hala menjadi elemen kritikal kejayaan dasar tenaga. Dialog terbuka, konsultasi awam dan pendidikan berperingkat mampu membina rasa memiliki dalam kalangan rakyat.
Dimensi yang lebih strategik diperhalusi menerusi kajian Lee dan Yuen Yoong (2025) berjudul ‘Landskap Ekonomi dan Peraturan Tenaga Nuklear: Implikasi terhadap Malaysia’ yang menegaskan bahawa kejayaan pembangunan nuklear sangat bergantung kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta sistem operasi dan penyelenggaraan yang kukuh.

Kajian ini menyatakan bahawa Malaysia perlu membina sumber manusia khusus dalam sektor nuklear, selain mewujudkan mekanisme operasi yang mampu meminimumkan gangguan tidak terancang dan memastikan kebolehpercayaan loji tenaga. Dalam masa sama, kerjasama dengan rakan antarabangsa yang mempunyai rekod operasi mantap penting bagi menyokong pemindahan pengetahuan dan penerapan amalan terbaik.
Lebih signifikan, kajian ini mengangkat aspek pemilihan lokasi loji sebagai elemen kritikal yang perlu ditangani secara telus dan berjangka panjang. Strategi penglibatan awam yang menyeluruh, dari peringkat awal perancangan sehingga fasa penyahtaulihan (decommissioning) menjadi asas kepada pembinaan kepercayaan rakyat.
Prinsip “libatkan awal, fikirkan jangka panjang” bukan sekadar slogan, tetapi falsafah komunikasi dasar yang mampu mengurangkan kebimbangan, memperbetulkan salah tanggapan dan meminimumkan penentangan awam terhadap projek berskala besar seperti nuklear.
Di sinilah peranan PETRA bukan sekadar sebagai pembuat polisi, tetapi pemudah cara kepada wacana nasional yang menyeluruh.
Seperti yang sering ditekankan Fadillah, tenaga bukan hanya untuk memenuhi keperluan hari ini, tetapi menyokong aspirasi negara dalam dekad mendatang. Namun apa yang lebih besar sedang diuji ialah kepercayaan rakyat terhadap integriti dasar.
Nuklear, dalam konteks ini, bukan gimik teknologi. Ia adalah ujian kematangan, sejauh mana negara mampu menyelaraskan sains dengan empati, dasar dengan nilai, serta kemajuan dengan tanggungjawab moral.
Jika dilaksanakan dengan penuh ketelusan, tenaga nuklear bukan ancaman tetapi warisan. Ia bukan sekadar loji dan reaktor, tetapi simbol kesungguhan negara menjaga kelangsungan hidup generasi masa depan.
Di sinilah Malaysia sedang diuji, bukan pada keberanian membina loji, tetapi pada kebijaksanaan memimpin perubahan.
LIZA MANSOR
Penulis sedang mengikuti pengajian di peringkat kedoktoran di Universiti Utara Malaysia (UUM)



