
PM kecam serangan terhadap wartawan Haresh Deol
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan individu yang menyerang wartawan sukan, Haresh Deol yang juga Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) di Bangsar, baru-baru ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ketegasan itu dizahirkan Perdana Menteri semasa mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini.
Tambah Datuk Fahmi, beliau turut menyifatkan insiden itu sebagai satu kejadian yang tidak sepatutnya berlaku kepada mana-mana wartawan, terutamanya ketika mereka sedang menjalankan tugas.
“Haresh ada memaklumkan beliau baru selesai mengadakan pertemuan dan masa yang sama kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan penuh.”
“Saya percaya pihak PDRM ada mengeluarkan kenyataan terbaru mengenai salah seorang yang telah ditahan tapi kita serah kepada pihak berkuasa untuk siasatan tersebut,” beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI bercakap kepada pemberita dalam Sidang Media Mingguan selepas mesyuarat kabinet, di sini.
Sementara itu, Fahmi memberitahu Perdana Menteri menegaskan, jemaah Menteri perlu sentiasa memantau pegawai bawah tanggungjawab mereka dan tidak melindungi sebarang salah laku, khususnya berkaitan tadbir urus dan rasuah.
Ia susulan dakwaan yang melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
“Berhubung isu Datuk Seri Shamsul, Perdana Menteri mengulangi pendirian dan memberi jaminan beliau untuk tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya terdapat apa-apa aspek yang perlu disiasat oleh pihak berkuasa, termasuk SPRM.
“Beliau turut memberi peringatan kepada semua Menteri supaya sentiasa memantau pegawai masing-masing. Tegasnya, tidak akan ada perlindungan jika berlaku sebarang salah laku. Tiada sesiapa pun yang terkecuali daripada undang-undang dalam negara kita,” katanya. -28/11/2025



