
Lebih 900 ribu peminjam STR selesai bayar pinjaman PTPTN
Sebanyak RM13.89 bilion melibatkan seramai 911,788 peminjam daripada keluarga penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berjaya melangsaikan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Manakala, bagi keluarga bukan penerima STR dengan pendapatan bulanan tidak melebihi RM8 ribu iaitu seramai 58,921 peminjam telah menjelaskan pinjaman dengan jumlah RM703.45 juta.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, 136,196 peminjam daripada keluarga berpendapatan melebihi RM8,000 turut menyelesaikan bayaran balik dengan nilai RM1.54 bilion.
“Bagi peminjam yang membuat bayaran balik secara konsisten, sejumlah 450,522 peminjam daripada keluarga penerima STR telah melunaskan pinjaman mereka, dengan jumlah keseluruhan RM4.17 bilion.
“Selain itu, 131,386 peminjam daripada keluarga bukan penerima STR dan berpendapatan tidak melebihi RM8,000 membayar balik sebanyak RM657.79 juta.
Manakala, 39,374 peminjam daripada keluarga berpendapatan melebihi RM8,000 sebulan membayar balik RM362.36 juta,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukan Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Mustapha turut menjelaskan status tunggakan bayaran balik, melibatkan 967,796 peminjam keluarga penerima STR dengan jumlah tunggakan RM10.23 bilion.
Sementara itu, bagi keluarga bukan penerima STR berpendapatan tidak melebihi RM8,000, seramai 196,315 peminjam tunggakan berjumlah RM257.56 juta.
Bagi keluarga yang berpendapatan melebihi RM8,000, seramai 64,618 peminjam mempunyai tunggakan berjumlah RM257.56 juta.-1/12/2025



