
Isyarat baharu politik Sabah
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sekali lagi membuktikan bahawa politik Sabah sentiasa penuh warna dan tidak pernah statik.
Keputusan kali ini membawa banyak kejutan daripada gelombang pengundi baharu, perubahan pola sokongan, hinggalah kebangkitan calon bebas yang semakin berpengaruh.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan paling dominan. GRS menang 29 kerusi, Warisan pula menguasai 25 kerusi.
Bezanya, hanya empat kerusi. Cukup untuk menunjukkan betapa sengitnya persaingan kali ini. Secara geografi, pola sokongan juga semakin jelas.
GRS kuat di Pantai Barat, Utara dan pedalaman. Warisan pula unggul di Pantai Timur, kawasan bandar dan Sabah Tengah.
PRN kali ini turut menyaksikan beberapa keputusan luar jangka. DAP tewas di semua lapan kerusi, PKR hanya menang satu kerusi dan BN memperoleh enam kerusi.
Manakala, PAS mencipta sejarah dengan kemenangan pertama di Karambunai.
Namun yang paling mencuri perhatian ialah kejayaan lima calon Bebas, satu petanda bahawa suara akar umbi semakin kuat dan tidak boleh dipandang ringan.
Status ‘orang lama’ juga tidak menjamin kemenangan. Datuk Seri Anifah Aman, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Datuk Seri Salleh Keruak dan Datuk Seri Ronald Kiandee, antara nama yang cukup sinonim dengan pentas politik Sabah.
Namun, tewas pada pilihan raya kali ini.
Sepanjang 14 hari berkempen, dua naratif besar bersaing untuk memikat hati pengundi. Sentimen “Sabah for Sabahan” memberi tekanan kepada parti berhaluan nasional.
Ramai pengundi mahu melihat hak Sabah dipertahankan dan suara negeri diangkat dengan lebih lantang.
GRS pula dengan naratif Kerjasama Sabah–Persekutuan. Hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan sebagai syarat utama pembangunan — termasuk pelaksanaan Agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) yang membawa projek infrastruktur, peluang pekerjaan dan program kebajikan.
Apa pun naratifnya, ada perkara yang perlu difikirkan – “Jangan kerana perjuangkan hak negeri, negara kita runtuhkan”
Gelombang pengundi muda, suara komuniti tempatan, serta kebangkitan calon bebas menunjukkan bahawa rakyat semakin kritikal dan menuntut kepimpinan yang benar-benar bekerja. Rakyat Sabah mahukan gabungan antara perkembangan pesat, kepimpinan stabil, serta pembelaan hak-hak tempatan.
Fasa pertama selepas ini amat kritikal — bagaimana GRS membentuk kerajaan, menyusun semula dasar dan pelaksanaan SMJ 2.0, serta berurusan dengan harapan rakyat.
Aspek pembangunan infrastuktur asas, pembukaan peluang pekerjaan baharu, peningkatan taraf hidup luar bandar, kemudahan pendidikan dan kesihatan serta pengukuhan ekonomi perlu diambil kira.
GRS mendapat mandat untuk meneruskan agenda – tetapi mandat ini datang dengan tanggungjawab besar: menunaikan janji, mencapai hasil nyata, dan menjaga keadilan sosial serta hak Sabah.
Memetik kata-kata Datuk Seri Hajiji selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah untuk penggal kedua.
“Bersama-sama, kita akan menghadapi cabaran, merebut peluang baharu dan memastikan setiap suara, walau sekecil mana sekalipun, didengari dan dihargai”.
Itulah harapan rakyat Sabah, sebuah kerajaan yang mendengar, bertindak dan menunaikan janji.
Kini, mereka menunggu hasil nyata. Janji itu ibarat hutang, dan hutang wajib dibayar.
Yang jelas, politik Sabah sudah memasuki fasa baharu.
Dan seperti biasa, Sabah terus mengajar kita satu perkara.
Politiknya sentiasa hidup, sentiasa berubah, dan sentiasa memberi kejutan.-2/12/2025



