
PM buka tembelang pemimpin PAS di Dewan Rakyat pasal isu surat sokongan
Isu surat sokongan bergema di sidang Dewan Rakyat pada Selasa. Ia timbul Waktu Pertanyaan Menteri bila Datuk Seri Anwar Ibrahim jawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN–Masjid Tanah), yang tanya sama ada kerajaan akan menjalankan audit dalaman hal itu terhadap pegawai menteri.
Maka Perdana Menteri buka tembelang apa yang didakwanya ‘sikap hipokrit’ pembangkang dalam hal berkenaan.
Dakwa Anwar ketika kecoh berhubung dakwaan surat sokongan yang dihantar pegawai beliau, Exco Kerajaan Negeri pimpinan PAS juga melakukan perkara sama — malah lebih serius.
Menurutnya surat yang ditulis pegawainya hanya berbentuk “dipanjangkan” untuk rujukan atau “untuk pertimbangan”, sebaliknya surat pemimpin negeri PAS tersebut secara jelas memohon kelulusan bagi pihak syarikat.
“Jadi jangan… kita harus konsisten.
“Surat menyatakan, surat ini dipanjangkan Itu, riuh rendah satu kesalahan besar.
“Surat menyatakan untuk kelulusan. Tak ada satu suara.
“Saya baca sekali lagi: Untuk kelulusan pihak Datuk – yang tadi itu Terengganu ditulis oleh seorang exco.
“(Surat dari) yang Kelantan ini untuk iaitu memohon pertimbang kelulusan,” katanya.
Baru baru ini heboh pasal surat sokongan untuk projek pembinaan sebuah hospital dikeluarkan oleh bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin pada enam kontraktor tahun lalu.
Selain itu ada juga yang persoal surat sokongan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan.
Dalam pada itu Anwar membidas tindakan pembangkang yang masih tidak berpuas hati terhadap proses siasatan dibuat terhadap Shamsul Iskandar sedangkan bekas Setiausaha Politik Kanannya, itu tidak diberi ‘layanan istimewa’ oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perdana Menteri berkata, beliau sama sekali tidak mempertahankan Shamsul Iskandar, malah bekas kakitangannya itu juga menjalani proses tangkapan termasuk digari.
Malah beliau menegaskan sekali lagi tiada campur tangan atau ‘teguran’ oleh pihaknya terhadap SPRM yang diberi kebebasan sepenuhnya sepanjang proses siasatan terbabit.
“Dalam kes yang sekarang disiasat SPRM. Cuba lihat, hendak suruh buat apa lagi? Orang itu digari dengan baju oren. Saya rasa banyak kes berat yang lain tidak digaripun.
“Tidak puas hati lagi ke? Jadi saya (rasa) setakat itu dan saya tidak tegur sepatahpun kepada SPRM. Saya sudah bagitahu, dia bebas untuk siasat, dia siasatlah. Dia nak suruh apa lagi?
“Saya tidak pertahankan staf (kakitangan) saya. Saya hendak tanya mengapa hendak pertahankan orang lain?” katanya.
Jumaat lalu, Shamsul Iskandar direman enam hari sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan pemberian rasuah oleh ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei.
Shamsul Iskandar meletak jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri selepas mendakwa ada usaha menggunakan kontroversi untuk menjatuhkan reputasinya dan imej kerajaan. – 2/12/2025



