
Kerjasama dan persahabatan Malaysia-Singapura diperkukuhkan
Pemukiman Pemimpin Malaysia dan Singapura ke 12 menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan kerjasama dan persahabatan diperkukuhkan supaya memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
“Mesyuarat yang amat produktif ini telah mencapai beberapa persetujuan bersama dan memperluas kerjasama merentasi pelbagai bidang, selain turut memperkukuh hubungan akrab Malaysia-Singapura sebagai sahabat rapat dan antara anggota pengasas ASEAN.
“Saya berbesar hati kerana pelaburan perniagaan sebanyak RM17.97 bilion telah dicapai di dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sejak MoU berkenaan dimeterai tahun lalu.
“Saya dan PM Lawrence turut menyaksikan pertukaran MOU mengenai kerjasama kesihatan, memerangi pengedaran dadah dan perjanjian tambahan Laluan Sistem Transit Laju Johor Bahru–Singapura (RTS Link),” katanya di laman sosial Facebook.
Tambahnya, Singapura turut merancang membuka konsulat baharu di Kota Kinabalu dan Kuching, yang dijangka memberi manfaat kepada penduduk setempat dalam sektor ekonomi, pelancongan dan tenaga boleh diperbaharui.-5/12/2025


