
Banjir… Lebih RM300 juta diperlukan untuk pulih infrastruktur rosak
Lebih RM300 juta diperlukan untuk membaiki infrastruktur yang rosak akibat Monsun Timur Laut (MTL), kata Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Menteri Kerja Raya itu berkata setakat ini sebanyak 145 lokasi membabitkan jalan Persekutuan dan negeri direkodkan mengalami kerosakan, dengan insiden baharu dilaporkan hampir setiap hari.
“Berdasarkan data semasa, anggaran pembaikan turapan jalan sahaja mencecah RM225.9 juta. Untuk pembaikan komponen lain jalan Persekutuan, kita perlukan sekitar RM47.4 juta, manakala kerja-kerja menangani kegagalan cerun dianggarkan RM54.5 juta. Jika dijumlahkan, ia melebihi RM300 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Kad Pendaftaran Personel Binaan Baharu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), di ibu negara, hari ini.
Nanta berkata, anggaran itu masih bersifat sementara kerana jumlah kerosakan dijangka akan terus meningkat selagi Monsun Timur Laut berlarutan.
Sementara itu, beliau memaklumkan KKR kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi, dengan Bilik Gerakan Bencana beroperasi 24 jam sehari bagi memantau semua insiden termasuk banjir, banjir kilat, runtuhan cerun, jalan mendap dan kerosakan jambatan.
“Setiap laporan akan diambil tindakan segera. Kita akan siasat kerosakan, tentukan keperluan baik pulih dan anggar kos secara serta-merta,” katanya.
Mengenai peruntukan sedia ada pula, Nanta berkata KKR masih memiliki bajet asas yang mencukupi buat masa ini, namun tidak menolak untuk memohon dana tambahan sekiranya keadaan monsun terus meruncing.
“Setakat ini, peruntukan masih ada. Tetapi jika perlu, kita akan kemukakan permohonan kepada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan. Peruntukan RM500 juta yang diumumkan kerajaan sebelum ini pula adalah untuk keseluruhan pengurusan monsun dan diselaras melalui NADMA,” ujarnya.
Terdahulu, KKR telah mengenal pasti 145 lokasi terjejas akibat Monsun Timur Laut (MTL), membabitkan 63 laluan Persekutuan dan 82 laluan negeri.
MTL bagi musim 2025/2026 dijangka berterusan sehingga Mac depan.-5/12/2025



