
MCA lulus resolusi keluar BN jika kerjasama dengan DAP PRU16
MCA meluluskan resolusi untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) sekiranya mana-mana komponen dalam gabungan itu bekerjasama dengan DAP pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Perwakilan juga bersetuju bahawa MCA akan menetapkan haluannya sendiri jika berlaku kerjasama tersebut.
Menurut presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, MCA tidak boleh bekerjasama dengan DAP kerana perbezaan ketara ideologi antara kedua-dua parti.
Beliau sebelum itu memberitahu perwakilan bahawa sejak memerintah, DAP dan Pakatan Harapan (PH) telah membuat pusingan U dalam pelbagai isu, meninggalkan janji demi janji.
“Jika menjelang pilihan raya umum akan datang, beberapa sekutu BN masih ingin terus bekerjasama dengan mereka, itu hanya bermakna semangat BN telah hilang sepenuhnya.
“Dalam keadaan itu, kita hanya boleh berkata, ‘Selamat maju jaya! MCA mempunyai haluannya sendiri,’’ katanya pada Perhimpunan Agung MCA hari ini.
Sebelum ini, salah satu gabungan BN iaitu MIC telah meluluskan usul untuk menamatkan pernyertaan dalam gabungan berkenaan namun perwakilan menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memutuskannya.
Resolusi itu dicapai pada Perhimpunan Agung MIC Ke-79 baru-baru ini selepas mengadakan perbincangan yang mendalam dan teliti dalam kalangan ahli akar umbi.
MIC juga memohon untuk menyertai Parikatan Nasional (PN) dan ia disahkan oleh pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Berbeza dengan MCA, meskipun mengakui menerima cadangan supaya parti itu menyertai PN, Ka Siong menegaskan langkah itu sukar dipertimbangkan selagi PAS tidak melakukan pembaharuan menjadi parti lebih sederhana.
Menurutnya, sentimen dalam kalangan masyarakat Cina masih jelas — mereka menolak PAS, terutama selepas beberapa kenyataan kontroversi pemimpin parti itu yang didakwa menyinggung sensitiviti bukan Islam.
Bagaimanapun resolusi dari MCA ini memberikan tamparan kepada pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang terus menyatakan pendirian untuk kekal berada dalam Kerajaan Perpaduan.-8/12/2025



