
369,005 pelajar sertai Kempen Internet Selamat anjuran MCMC
Seramai 369,005 orang pelajar telah menyertai Kempen Internet Selamat (KIS) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) setakat 30 November lalu.
MCMC dalam kenyataannya berkata, secara keseluruhannya sebanyak 8,462 sekolah di seluruh negara telah terlibat dalam kempen tersebut.
“Melalui pelaksanaan ini, mesej keselamatan KIS berjaya menjangkau lebih 80 peratus sekolah di seluruh negara merangkumi sekolah rendah, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah menengah, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman serta Sekolah Kurang Murid (SKM),” kata kenyataan itu.
MCMC berkata, pencapaian tahun ini turut merangkumi pelaksanaan program di institusi pendidikan tinggi (IPT) seperti kolej, IPT awam dan Institut Pendidikan Guru, melibatkan 61 program dengan penyertaan seramai 20,190 peserta.
Pencapaian KIS juga, katanya, hasil kerjasama pelbagai pihak khususnya Kementerian Pendidikan yang memberikan sokongan bagi membolehkan kempen tersebut dilaksanakan di sekolah-sekolah seluruh negara.
Selain itu, peranan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan badan-badan lain seperti Persekutuan Pengakap Malaysia dan BAKAT yang turut membantu menyebarkan mesej kempen dengan lebih meluas dalam tempoh yang ditetapkan.-8/12/2025



