TAHUKAH ANDA

Buku catatan Anwar ketika terbungkam di Sungai Buluh dilancarkan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan buku terbaharunya Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance In Postnormal Times pada satu majlis di Bukit Jalil, petang ini.

Anwar berkata, beliau bersyukur kerana berpeluang menghimpunkan perjalanan hidup dan pengalaman peribadinya menjadi sebuah naskhah yang mengetengahkan wacana tentang bangsa, kemanusiaan dan masa depan negara.

Beliau berkata, buku tersebut mendapat sambutan memberangsangkan di peringkat antarabangsa apabila tiga penerbit ternama bersetuju menerbitkannya.

Mereka ialah Hurst London untuk pasaran United Kingdom, Eropah dan Amerika Syarikat; Penguin bagi edisi Malaysia dan Asia; serta Hong Kong University Press yang akan memasarkan edisi China dan Asia Timur bermula Januari depan.

“Buku ini lahir daripada catatan-catatan saya tatkala terbungkam di Sungai Buloh, ruang renungan yang melahirkan persoalan tentang keadilan, harga diri bangsa serta masa depan negara.

Buku berkenaan diharap menjadi ruang renungan yang lebih jujur dan mendalam mengenai realiti semasa, selain mengajak masyarakat memahami cabaran zaman yang menuntut keberanian untuk memperbaiki kekhilafan serta kebijaksanaan dalam menghadapi ketidaktentuan.

“Moga naskhah ini membuka ruang renungan yang lebih jujur dan mendalam tentang realiti yang sedang kita harungi, sebuah zaman yang menuntut keberanian untuk memperbaiki kekhilafan, kebijaksanaan untuk memahami dan keinsafan untuk berubah.

“Semoga ia mengilhamkan kita untuk merangkul perubahan yang bermakna demi membina masa depan yang lebih adil, berperikemanusiaan dan teguh nilai etikanya,” katanya.

Buku itu dijangka menghimpunkan gagasan pemikiran dan refleksi peribadi Anwar mengenai keadilan sosial, reformasi dan cabaran masyarakat dalam era pascanormal.-8/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button