
Kerajaan tegas tolak saranan Bank Dunia naikkan harga minyak RON95… kenapa?
Ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat minggu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tegas mengatakan beliau dan kerajaan Madani menolak cadangan Bank Dunia untuk mengapungkan harga petrol pada nilai pasaran… tapi persoalannya kenapa?
Ketika Bank Dunia mencadangkan harga petrol diapungkan mengikut pasaran, kerajaan membuat keputusan menolak saranan tersebut dan menegaskan subsidi bersasar lebih relevan pada masa ini. Ia memberi mesej jelas, keutamaan kerajaan pada ketika ini ialah realiti rakyat, bukan teori global.
Sejarah harga minyak dunia turut menjadi peringatan. Pada 2022 harga minyak mentah pernah melepasi USD120 setong. Kenaikan mendadak seperti itu memberi kesan rantaian kepada kos logistik, harga barangan dan akhirnya menambah tekanan kos sara hidup rakyat.
Bayangkan, Jika RON95 diapungkan sepenuhnya, pengguna akan terdedah kepada risiko yang sama tanpa sebarang perlindungan. Pendekatan yang diambil kerajaan menerusi BUDI95 memberi kelegaan kepada kebanyakan rakyat. Kini, mereka yang layak menerima subsidi, hanya membayar RM1.99 seliter.
Bagi pengguna biasa tanpa subsidi pula, harga runcit mingguan berlegar sekitar RM2.60 seliter mengikut pengumuman Kementerian Kewangan.
Menurut Anwar keputusan tersebut lebih berhemat dan adil kerana subsidi tidak lagi diberikan secara pukal seperti sebelumnya.

Dari sudut fiskal, cadangan Bank Dunia menawarkan penjimatan yang signifikan, seperti yang dihuraikan dalam laporan ekonomi mereka. Namun kerajaan memilih pendekatan yang lebih seimbang kerana median upah bulanan rakyat masih berada dalam lingkungan sederhana sekitar RM2,900 menurut data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia.
Subsidi bersasar juga mengelakkan golongan berada menikmati subsidi yang mereka tidak perlukan. Menerusi langkah ini, bantuan dapat disalurkan kepada kumpulan yang benar-benar terkesan seperti golongan B40. Ia inisiatif yang lebih dekat dengan realiti kemampuan rakyat, bukan anggaran teori ekonomi makro.
Bagaimanapun, subsidi bersasar hanya berkesan jika datanya tepat. Ketidaksepadanan pangkalan data boleh menyebabkan golongan layak tercicir manakala mereka yang tidak layak pula tersasar masuk.
Penguatkuasaan dan penyelarasan agensi menjadi keutamaan kerana ketirisan dalam subsidi bahan api bukan perkara baharu. Tanpa pemantauan ketat, keberkesanan dasar akan terjejas.
Kerajaan juga perlu memastikan peniaga tidak menggunakan apa-apa perubahan berkaitan bahan api sebagai alasan menaikkan harga barang secara tidak berasas. Pengalaman lalu menunjukkan betapa cepatnya sesetengah pihak mengambil kesempatan.
Di sinilah undang-undang kawal selia harga dan tindakan tegas penguat kuasa perlu menjadi pelindung kepada pengguna.
Akhirnya, keputusan kerajaan menolak cadangan Bank Dunia ini bukan tindakan antiekonomi. Ia tindakan prorealiti. Ada masa untuk reformasi pasaran dan ada masa untuk melindungi rakyat.
Dalam keadaan kos sara hidup masih belum stabil, langkah ini menunjukkan tidak semua formula global sesuai diterapkan mentah-mentah. Kerajaan perlu bijak menyesuaikannya dengan “berpijak di bumi nyata”.
Namun akhirnya, persoalan sebenar yang perlu dijawab ialah sejauh mana model subsidi bersasar ini mampu bertahan dalam jangka panjang apabila ekonomi global terus berubah dengan pantas. Adakah kerajaan mampu mengekalkan imbangan antara fiskal negara dengan keperluan rakyat tanpa mengorbankan mana-mana pihak?-9/12/2025



