
Dewan Negara diberitahu Kempen Internet Selamat libat 8,585 sekolah
Program Kempen Internet Selamat yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah dilaksanakan di 8,585 sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) melibatkan 394,477 pelajar pada tahun ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, seramai 288,852 peserta turut menyertai 472 program yang dianjurkan untuk masyarakat umum di seluruh negara sebagai sebahagian usaha dalam meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dalam talian.
“Kita masuk ke sekolah dan IPT, berdialog dengan pelajar supaya mereka juga lebih tahu bagaimana caranya untuk melindungi diri dan apakah jenis bantuan yang mereka boleh dapatkan sekiranya berdepan isu keselamatan dalam talian, “ katanya di Dewan Negara pada Rabu.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Norhasmimi Abdul Ghani yang meminta kerajaan menyatakan apakah langkah yang sedang diambil bagi memperkukuh sistem laporan dan aduan awam untuk membolehkan tindakan pantas diambil terhadap sebarang aktiviti yang mencurigakan di ruang siber.
Mengulas lanjut, beliau berkata, SKMM turut merancang memperluas Kempen Internet Selamat kepada golongan ibu bapa mulai tahun hadapan.
Jelas beliau, langkah itu bagi memastikan golongan ibu bapa diberi pendedahan dan pengetahuan yang tepat mengenai keselamatan digital.
Beliau berkata penglibatan golongan itu amat penting bagi memastikan kanak-kanak mendapat perlindungan berterusan ketika menggunakan peranti atau mengakses internet di rumah.-9/12/2025



